Kes Tuntutan Sulu: UMNO Lahad Datu Hargai Usaha Azalina, Tegas Pertahan Kedaulatan Sabah
LAHAD DATU, 13 Dis – Kemenangan Malaysia dalam isu tuntutan Sulu membuktikan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) yang juga Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said adalah seorang menteri yang dedikasi dan tegas pertahan kedaulatan negara.
Dalam hal ini, Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran dan penghargaan kepada Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikan Azalina yang menyerlahkan kewibawaan dan keupayaan menangani permasalahan negara.

“Alhamdulillah, sebagai rakyat Sabah kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Pelantikan ini amat bermakna buat rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Sharif Musa, keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 9 Disember lalu yang membatalkan sepenuhnya ‘Award Akhir’ dalam tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah membuktikan ketegasan kerajaan Malaysia dalam mempertahankan kedaulatan negara.
“Rancangan pihak-pihak tertentu untuk membuat tuntutan terhadap Sabah tidak boleh dipandang sebelah mata kerana waris Kesultanan Sulu sentiasa mencari ruang agar Sabah tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia,” tegasnya.
Beliau berkata, tuntutan terhadap Sabah bukan isu ringan dan memerlukan kepimpinan yang tegas serta berprinsip.
“Menteri daripada UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa mempertahankan setiap inci bumi Sabah bagi memastikan rakyat dapat hidup dengan aman dan selamat sepanjang masa,” ujarnya.
Mengimbas sejarah, Sharif Musa menegaskan status Sabah sebagai sebahagian daripada Malaysia adalah muktamad dan tidak boleh dipertikaikan.
“Sabah telah merdeka dalam Malaysia pada tahun 1963 berdasarkan keputusan referendum Suruhanjaya Cobbold dan pengiktirafan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Fakta ini tidak boleh diputarbelit oleh mana-mana pihak,” katanya.
Sebelum ini, lapan warganegara Filipina yang mendakwa waris Kesultanan Sulu yang telah pupus membuka beberapa prosiding timbang tara di luar negara selepas kalah dalam kes di Malaysia. Mereka memulakan prosiding timbang tara di Sepanyol, menuntut pampasan berjumlah berbilion terhadap Malaysia berhubung Sabah.

Namun Malaysia secara konsisten berhujah bahawa tindakan tersebut tidak berasas, bercanggah dengan undang-undang antarabangsa serta melanggar kedaulatan negara.
Pada Mac 2019, sebuah mahkamah di Madrid melantik Stampa sebagai penimbang tara bagi kes berkenaan.
Pada 28 Februari 2022, Stampa mengeluarkan ‘Award Akhir’ berjumlah AS$14.9 bilion memihak penuntut, melalui proses timbang tara yang tidak sah kerana pelantikannya telah dibatalkan oleh mahkamah Sepanyol.
War Room Sekretariat Khas Sulu yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Disember, dan kerajaan menerima penghakiman rasmi berkenaan pada awal pagi kemudiannya.
Mahkamah mendapati Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan ‘Award Akhir’ itu kerana tiada perjanjian timbang tara yang sah mengikat Malaysia.
Mahkamah Rayuan Paris sebelum ini telah menolak pengiktirafan dan pelaksanaan ‘Partial Award’ pada 6 Jun 2023, dan Mahkamah Agung Perancis mengekalkan keputusan itu pada 6 November 2024. – UMNO Online
