UEC: Dasar Pendidikan Perkara Asas Negara… Tidak Boleh Dikompromi Demi Kepentingan Semasa
KUALA LUMPUR, 15 Dis – Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Buloh, Zuree Affendie Dzuraimi berpandangan bahawa dasar pendidikan adalah perkara asas negara dan ia tidak boleh dikompromikan demi kepentingan sementara.
Ujarnya, isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) yang dibangkitkan bukanlah menimbulkan kebimbangan dari segi akademik semata-mata, tetapi implikasinya terhadap perpaduan nasional.

“Sistem pendidikan kebangsaan merupakan cerminan kesatuan dan perpaduan kita sejak awal penubuhannya.
“Para pemimpin terdahulu telah membangunkan satu dasar pendidikan yang menyatukan rakyat melalui keseragaman kurikulum, bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama dan peperiksaan standard yang diterima pakai di seluruh negara. Maka, tidak wajar untuk kita menambah atau mengiktiraf peperiksaan lain yang menyimpang daripada landasan ini.
“Dalam konteks isu UEC, perlu difahami bahawa kebimbangan utama bukanlah soal akademik semata-mata, tetapi implikasi terhadap perpaduan nasional. UEC menggunakan silibus yang berbeza daripada Kurikulum Kebangsaan dan tidak berteraskan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama.
“Hal ini menimbulkan persoalan tentang keseragaman sistem pendidikan dan keberkesanan pembentukan identiti nasional dalam kalangan generasi muda,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa semua pihak perlu menghormati dan memahami apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak boleh menjadi juara kepada mana-mana kelompok tertentu hanya kerana ingin meraih sokongan politik. Dasar pendidikan adalah perkara asas negara; ia tidak boleh dikompromikan demi kepentingan sementara.
“Kita perlu menghormati dan memahami apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang yang menjadi asas pembinaan sistem pendidikan nasional.
“Janganlah kerana mengejar ‘political mileage’, dasar pendidikan kebangsaan yang telah dibina dengan teliti sejak puluhan tahun menjadi tergugat, retak dan akhirnya punah. Keutuhan sistem ini mesti dipertahankan demi masa depan anak-anak kita dan demi perpaduan negara,” katanya lagi. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman
