Inisiatif Menyeluruh Perkukuh Kesejahteraan Rakyat Johor — Najib
KUALA LUMPUR, 12 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani Datuk Najib Samuri melihat inisiatif memperkukuh rakyat Johor merangkumi pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai peringkat.
Menurut beliau perkara berkenaan dapat dilihat menerusi bantuan eKasih, bantuan kepada ketua kampung serta ketua masyarakat dan penjawat awam serta lain-lain golongan yang merupakan inisiatif penting demi kesejahteraan rakyat Johor.
“Bantuan Kasih Johor eKasih, bantuan kepada Ketua Kampung, Ketua Masyarakat serta Bantuan Khas Penjawat Awam menjadi antara inisiatif penting yang diteruskan demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya lagi dalam pembentangan Belanjawan Johor 2026 yang lalu, kerajaan negeri memberi penekanan bukan sahaja kepada pembangunan fizikal seperti infrastruktur, perumahan dan mobiliti, tetapi juga aspek pembangunan sosial yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.
“BKJ Fasa 2 merupakan salah satu usaha terbesar negeri dalam memastikan setiap lapisan masyarakat menerima manfaat secara menyeluruh.
“Ia melambangkan kasih sayang kerajaan kepada rakyat dan tanda syukur atas kemajuan ekonomi negeri yang dinikmati bersama. Semoga inisiatif ini terus memperkukuh kesejahteraan rakyat Johor,” tambahnya. – UMNO Online
