PPTM Tegas Aspirasi Malaysia, Posisikan Negara Sebagai Hab Pendidikan Tinggi Serantau

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035, menegaskan aspirasi Malaysia untuk terus memposisikan negara sebagai Hab Pendidikan Tinggi Serantau, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, PPTM 2026–2035 dibangunkan melalui proses libat urus berskala besar dan merentasi pelbagai kumpulan masyarakat.

“Sehingga kini, lebih 8,226 individu telah terlibat secara langsung dalam proses perbincangan, konsultasi dan makmal dasar melibatkan pelajar, pensyarah, industri, komuniti, penggubal dasar, alumni, pemimpin masyarakat, Sabah dan Sarawak, serta pelbagai kelompok berkepentingan yang lain.

“Pelibatan menyeluruh ini memastikan PPTM benar-benar mencerminkan aspirasi rakyat dan keperluan masa depan negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Ujarnya, PPTM adalah bersifat Dokumen Dinamik yang fleksibel, responsif dan akan dikemas kini secara berkala mengikut perkembangan semasa.

“Ini termasuk kemunculan disiplin dan bidang baharu seperti ‘integrated engineering’, sains masa depan, keselamatan digital, ‘planetary health’ serta teknologi disruptif lain yang terus berkembang.

“Antara teras utama dalam PPTM ialah penekanan terhadap Kecerdasan Buatan (AI) sebagai pemacu utama ekosistem pendidikan tinggi. Fokus ini merangkumi pembangunan kurikulum berasaskan AI, pembinaan bakat digital, peningkatan keupayaan TVET dalam teknologi baharu, serta penyediaan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang menyokong ekonomi digital negara.

“Pada masa yang sama, PPTM turut menekankan penyepaduan nilai insaniah, etika, integriti dan adab sebagai asas pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dari sudut ilmu dan kemahiran, tetapi turut mempunyai jiwa serta nilai yang seimbang,” katanya.

Tambahnya, PPTM turut memberi perhatian kepada peluasan akses pendidikan tinggi khususnya untuk lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Matrikulasi.

“Usaha ini memastikan tiada bakat muda negara tercicir daripada peluang pembelajaran, selaras dengan komitmen kerajaan terhadap mobiliti sosial, memperkukuh bakat nasional dan menyediakan ruang kemajuan kepada anak-anak Malaysia tanpa mengira latar belakang.

“Saya turut menyentuh mengenai pengukuhan bahasa dan kemahiran multilingual. Bahasa Melayu akan terus diperkukuh sebagai bahasa ilmu termasuk dalam konteks teknologi baharu seperti AI, manakala Bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain akan terus ditingkatkan untuk mempersiapkan pelajar dengan keupayaan komunikasi global,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kesemua intipati tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam membentuk sebuah ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, progresif dan berdaya saing.

“Akhir sekali, PPTM menegaskan aspirasi Malaysia untuk terus memposisikan negara sebagai Hab Pendidikan Tinggi Serantau, melalui jaringan kerjasama antarabangsa, kemasukan pelajar asing berkualiti, mobiliti akademik dan pengukuhan reputasi universiti Malaysia di pentas global.

“Kesemua intipati ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani dalam membentuk sebuah ekosistem pendidikan tinggi yang lebih inklusif, progresif, berdaya saing dan berpaksikan nilai untuk masa depan negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO