Sharif Musa Seru Ahli UMNO Sabah Perkukuh Kesatuan di Bawah Kepimpinan Baharu

LAHAD DATU, 11 Dis – Ketua UMNO Bahagian Lahad Datu, Sharif Musa Sharif Mabul menyeru seluruh ahli UMNO khususnya di Sabah agar memperkukuhkan kesatuan selepas Datuk Jafry Ariffin dilantik sebagai Ketua UMNO Sabah yang baharu, menggantikan Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin.

Sharif Musa berkata pelantikan itu harus dijadikan ruang mencari titik persamaan antara semua pemimpin dan ahli UMNO Sabah, sekali gus mengukuhkan kekuatan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa.

“Kemudi bahtera ini bukan mudah tanpa kita bersatu padu dalam pelayaran menuju pulau kemenangan masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau turut menyentuh suasana dualisme emosi dalam kalangan ahli parti yang masih bersedih atas pemergian Bung Moktar, namun pada masa sama menyambut pembentukan Kerajaan Perpaduan Sabah.

Semalam, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, memaklumkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah bersetuju melantik barisan kepimpinan baharu Badan Perhubungan UMNO Sabah selaras dengan Fasal 12.5 Perlembagaan UMNO iaitu Datuk Jafry Ariffin sebagai pengerusi; Timbalan Pengerusi, Datuk Mohd Hasnol Ayub manakala Setiausaha, Samasuddin Yusop

Sharif Musa berkata kepimpinan baharu UMNO Sabah memikul tanggungjawab besar memastikan parti terus stabil dan mampu memainkan peranan berkesan dalam kerajaan negeri.

“Kepimpinan yang dilantik bukan sahaja mampu mentadbir, tetapi kuat menghadapi ujian dan tetap mara ke hadapan mengemudi UMNO Sabah,” tambahnya.

Mengulas pengalaman selepas PRN Sabah baru-baru ini, beliau menyatakan banyak pengajaran diperoleh, termasuk kewujudan pihak dalaman yang cuba melemahkan parti.

“Saya dapat mengenali mereka yang menjadi punca UMNO dan BN tidak dapat bangkit semula sejak 2018,” katanya.

Sharif Musa kemudian menzahirkan keyakinan bahawa UMNO Sabah akan kembali pulih menjelang PRU-17.

Beliau berkata masalah dalaman di DUN Kunak sudah menunjukkan tanda pemulihan, sementara usaha diteruskan untuk menangani isu di DUN Silam, Tungku dan Segama.

“Kita akan terus bersama ahli UMNO dan BN yang benar-benar ikhlas, bukan sahaja untuk perjuangan dunia tetapi hingga ke akhirat,” katanya.

Beliau juga menyeru ahli parti supaya kekal setia, sabar dan teguh bersama kepimpinan baharu demi kebangkitan UMNO Sabah. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO