Sidang DUN: Wan Rosdy Perjelas Lima Sumber Hasil Negeri Pahang

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memperjelaskan lima sumber hasil Negeri Pahang pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Rabu.

Menerusi potongan video yang dimuatnaik di halaman Facebooknya, Wan Rosdy membuat penjelasan tersebut untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu.

“Terima kasih kepada ADUN Beserah yang bertanyakan soalan berkenaan dengan lima sumber hasil terbesar Negeri Pahang bermula pada tahun 2020 sehingga 2025.

“Untuk makluman, kita ada lima hasil terbesar untuk Negeri Pahang bagi tahun 2020 sehingga November 2025.

“Pertama, cukai tanah yang meliputi cukai tanah semasa berulang, cukai tanah tahun pertama, cukai tanah pinggiran, cukai petak semasa, tunggakan cukai petak, tunggakan cukai tanah dan cukai-cukai tanah yang lain,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pahang turut memperoleh hasil daripada pelbagai jenis royalti dan lesen.

“Kedua ialah royalti yang meliputi royalti kayu-kayan, royalti perlombongan, royalti pengeluaran bahan batuan, royalti air mentah dan yang lain-lain.

“Ketiga ialah lesen bayaran pendaftaran dan permit yang merekodkan semua terimaan berkenaan lesen-lesen pendaftaran dan permit-permit pelbagai.

“Keempat ialah perolehan jualan barang-barang iaitu premium air mentah dan lain-lain yang meliputi jualan barang-barang cetak dan store, premium tanah, premium perhutanan, jualan barangan pertanian dan ternakan serta jualan air mentah.
“… dan yang terakhir ialah geran daripada kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan kutipan cukai tanah bernilai lebih RM403.7 juta setakat November tahun ini menjadikan ia penyumbang terbesar kepada hasil Negeri Pahang.

Wan Rosdy berkata, kutipan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan hasil negeri yang mencecah kira-kira RM762.9 juta bagi tempoh sama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andansura Rabu mengenai lima sumber hasil terbesar negeri dan jumlah kutipan serta peratus sumbangan kepada hasil keseluruhan. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO