Kerajaan Negeri Komited Lahirkan Atlet Pelapis, Latihan Percuma Untuk Bakat Muda

KUALA LUMPUR, 11 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan, Datuk Mustapha Nagoor memaklumkan komitmen kerajaan negeri dalam melahirkan atlet pelapis menerusi sokongan menyeluruh.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jempol berkata bagi atlet dikenal pasti berbakat akan diserap masuk ke dalam program Majlis Sukan Negeri (MSN) atau sekolah sukan negeri dan tidak perlu menanggung sebarang kos latihan.

“Di peringkat akar umbi, kelab-kelab sukan menjalankan pencarian bakat awal. Yuran minimum yang dikenakan oleh kelab adalah di luar kawalan MSN, tetapi ia realiti kepada komitmen profesional jurulatih.

“Namun, penting untuk saya tegaskan di dewan ini atlet berbakat tidak perlu membayar yuran tinggi apabila diserap ke program MSN atau sekolah sukan negeri.

“Latihan adalah percuma, dibimbing jurulatih profesional dan hari ini, saya dengan bangga menyatakan seramai 50 atlet anak Negeri Sembilan kini bertanding di Sukan SEA Thailand 2025.

“Mereka bukan produk luar. Mereka hasil ekosistem pembangunan negeri,” katanya.

Mustapha berkata demikian ketika ucapan pergulungan Persidangan Ketiga Belanjawan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Ke–15, semalam.

Menyentuh berkenaan pembangunan sukan sekolah rendah beliau berkata program sukan sekolah rendah tertakluk kepada Program Sukan Prestasi Tinggi Sekolah (SPTS) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan.

Katanya penglibatan MSN adalah menerusi khidmat nasihat latihan, penyertaan kejohanan dan bimbingan teknikal

“Bagi sekolah yang tiada fasiliti seperti skuasy, renang dan olahraga. Pihak sekolah boleh membuat tempahan fasiliti MSN secara rasmi.

“Atlet berbakat dipadankan ke pusat latihan negeri, sekolah sukan negeri dan sekolah sukan Malaysia. Ini memastikan akses latihan yang setara, profesional dan percuma.

“Yuran swasta adalah pilihan ibu bapa, sama seperti kelas tuisyen dan berada di luar kawalan kerajaan negeri,” ujar beliau.

Beliau dalam pada itu turut menyifatkan Belanjawan 2026 menunjukkan iltizam Kerajaan Negeri dalam memastikan pembangunan generasi muda terus diberi keutamaan.

“Secara keseluruhannya, belanjawan ini memberikan impak langsung, meluas dan berstrategi tinggi kepada generasi muda negeri.

“Saya dengan penuh yakin menyatakan bahawa Belanjawan Negeri Sembilan 2026 ialah belanjawan yang pro-belia, pro-pembangunan insan, dan pro-masa depan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO