MUBARAK Malaysia Teguh Perkukuh Peranan Bekas Wakil Rakyat, Fokus Kepentingan Masyarakat

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Mesyuarat Agung Kali ke-22 Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) telah berlangsung dengan jayanya baru-baru ini, menyaksikan kehadiran hampir semua perwakilan dari seluruh negeri.

Presidennya, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata kehadiran yang menggalakkan ini menzahirkan komitmen kukuh ahli-ahli MUBARAK dalam memperkukuh peranan serta hala tuju organisasi bagi tempoh yang akan datang.

Beliau menekankan bahawa mesyuarat ini bukan sahaja menjadi medan perbincangan, malah ia juga merupakan platform strategik bagi memperkukuh jaringan sesama ahli dan menyelaras usaha bersama untuk meningkatkan sumbangan MUBARAK di peringkat negeri dan nasional.

“Sebagai sebuah organisasi yang menghimpunkan bekas wakil rakyat, tanggungjawab kita bukan sahaja kepada ahli MUBARAK, tetapi lebih penting lagi, kepada rakyat yang pernah kita wakili. Peranan kita harus kekal relevan, memberi sumbangan positif, dan memastikan suara rakyat sentiasa didengar,” jelasnya kepada UMNO Online.

Antara agenda utama yang dibincangkan ialah usul persempadanan semula kawasan pilihan raya, yang mendapat perhatian serius daripada para perwakilan malah isu ini dianggap kritikal kerana ia melibatkan kepentingan rakyat serta masa depan landskap politik negara.

Katanya, para perwakilan menekankan bahawa sebarang perubahan perlu dijalankan secara adil, telus, dan bertanggungjawab, supaya memberi manfaat kepada semua kawasan, tanpa mengabaikan kebajikan bekas-bekas wakil rakyat yang telah menyumbang kepada pembangunan politik negara.

“Kita mesti memastikan bahawa persempadanan semula tidak mengabaikan kebajikan bekas wakil rakyat dan rakyat di semua kawasan. Proses ini harus dilakukan dengan penuh integriti dan ketelusan, demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan negara.”

Dr Abdul Aziz menekankan bahawa kepimpinan berwibawa dan penyertaan aktif ahli adalah kunci kepada kejayaan MUBARAK dalam menghadapi cabaran semasa.

“Selain membincangkan isu politik semasa, mesyuarat ini juga menjadi platform memperkukuh hubungan sesama ahli serta menyelaras usaha untuk mempertingkatkan peranan MUBARAK di peringkat negeri dan nasional.

“Para perwakilan berkongsi pandangan dan cadangan, termasuk inisiatif untuk meningkatkan kebajikan ahli, program komuniti, dan penyertaan aktif dalam pembangunan sosio-politik negara.”

Beliau juga menyeru semua ahli untuk terus mengambil peranan proaktif dalam memperkasakan masyarakat dan menyokong pembangunan politik yang mapan demi kesejahteraan rakyat.

“Dengan kesepaduan, komitmen, dan dedikasi ahli, organisasi ini mampu terus menjadi platform utama bekas wakil rakyat untuk menyumbang kepada pembangunan politik, sosial, dan ekonomi negara.

“MUBARAK adalah wadah kita untuk terus berbakti kepada rakyat. Marilah kita terus bekerjasama, bersatu hati, dan memperkukuh organisasi agar dapat terus menyumbang kepada kesejahteraan negara,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO