Zolkafly Perkukuh Agenda Keterjaminan Makanan Perak, Fokus Perkongsian Strategik Dan Teknologi

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun meneruskan komitmen memperkukuh sektor keterjaminan makanan negeri menerusi lawatan kerja ke Pulau Pinang.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Siput berkata program lawatan kerja itu merupakan usaha memperkukuh perancangan strategik menerusi perkongsian kepakaran, teknologi serta potensi kolaborasi yang boleh dimanfaatkan bagi pembangunan sektor tersebut di Perak.

“Saya diberi taklimat oleh CAB Cakaran Sdn Bhd berkaitan cadangan pelaburan industri ternakan ayam serta pembangunan sistem ternakan moden. Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi di bawah portfolio saya yang hadir dan bersama menjayakan sesi ini,” katanya.

Mohd Zolkafly berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi penyertaannya pada program Bengkel Pemantapan Portfolio Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak serta Lawatan Penanda Aras di Negeri Pulau Pinang bersama semua agensi di bawah portfolio beliau.

Sementara itu menerusi perkongsian seterusnya, beliau memaklumkan telah mempengerusi mesyuarat Mesyuarat Permohonan Peruntukan Pembangunan (DE) Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan Tahun 2026: Mengoptimumkan Penggunaan Tanah melalui Kerjasama Kerajaan Negeri di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Pada hari kedua Pemantapan Bengkel saya di Pulau Pinang, saya berkesempatan mempengerusikan mesyuarat berkenaan.

“Mesyuarat tersebut menghimpunkan wakil daripada KPKM, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), serta semua agensi di bawah portfolio saya.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sokongan padu dan komitmen berterusan yang diberikan dalam usaha memperkukuh Program Keterjaminan Makanan bagi tahun 2026. Semoga kerjasama erat ini terus memperkasa usaha kita dalam mengoptimumkan penggunaan tanah demi keselamatan makanan negara,” ujar beliau.

Beliau turut memaklumkan bengkel tersebut diteruskan dengan dua lawatan penanda aras yang penting iaitu ke Kilang Goh Siong Tee Marine Product Sdn Bhd (GST) Pulau Pinang, dan Kilang BABA Products Pulau Pinang.

“Setiap sesi lawatan ini dipimpin oleh dua agensi di bawah portfolio saya, iaitu Jabatan Perikanan Negeri Perak dan Jabatan Pertanian Negeri Perak dan ternyata memberikan input yang amat bermanfaat dari segi perkongsian ilmu, teknologi serta potensi kerjasama strategik pada masa hadapan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO