MINDEF: Aset Diperoleh Perlu, Memadai Untuk Lindung Kedaulatan Negara

KUALA LUMPUR, 10 Dis – Aset pertahanan yang diperoleh adalah perlu dan memadai untuk melindungi kedaulatan negara berdasarkan kemampuan peruntukan semasa, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata kesiapsiagaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) digerakkan melalui pendekatan operasi bersepadu udara, darat dan laut dengan tiga teras utama.

“Berada di Dewan Negara hari ini bagi menjawab soalan berkaitan kesiapsiagaan pertahanan udara negara. Pertahanan udara ialah komponen kritikal negara. Pemodenan sedang dipacu melalui pelaksanaan CAP55 (2021–2055).

“Ini termasuklah penggantian aset usang, pembinaan keupayaan moden serta tujuh program perolehan strategik seperti pesawat rondaan maritim, ‘Medium-Altitude Long-Endurance’ UAV, radar baharu dan pesawat FLIT-LCA.

“Kesiapsiagaan TUDM digerakkan melalui pendekatan operasi bersepadu udara, darat dan laut dengan tiga teras utama iaitu pengesanan awal, pencegahan, serta penafian melalui keupayaan sistem pertahanan udara,” katanya.

Mengulas lanjut beliau turut berkata bahawa keselamatan negara perlu diperkukuhkan melalui diplomasi pertahanan.

“Saya turut menegaskan bahawa doktrin pertahanan negara adalah mempertahankan negara. Maka aset diperoleh adalah yang perlu dan memadai untuk melindungi kedaulatan berdasarkan kemampuan peruntukan semasa.

“Keselamatan negara juga perlu diperkukuh melalui diplomasi pertahanan yang membawa kepada latihan bersama negara sahabat bersama pelbagai bentuk sokongan termasuk peralatan, latihan dan pembiayaan, sekali gus memastikan Malaysia kekal aman serta selamat,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO