Program DET Tingkat Kefahaman Masyarakat Terhadap Keperluan OKU – Ridzuan Hazimin

TEMERLOH, 10 Dis – Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Ridzuan Hazimin Ramli, menegaskan bahawa usaha meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap keperluan sebenar golongan Orang Kurang Upaya (OKU) perlu dilakukan secara berterusan agar mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan bermaruah.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Disability Equality Training (DET) peringkat Daerah Temerloh semalam yang bertujuan memperkukuh kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai hak serta keperluan golongan OKU, khususnya dari sudut akses, layanan dan peluang.

“Prinsipnya mudah… mereka berhak menerima kemudahan yang setara, sama seperti insan lain tanpa halangan fizikal atau sikap. Melalui latihan dan pendedahan seperti DET, saya berharap lebih ramai pihak termasuk agensi kerajaan, badan swasta dan komuniti setempat akan memahami kepentingan mewujudkan persekitaran inklusif,” katanya.

Ridzuan turut menekankan bahawa peranan semua pihak amat penting bagi memastikan setiap warga OKU dihargai dan diiktiraf sebagai anggota masyarakat yang setara.

“Sokongan kolektif inilah yang akan memastikan setiap warga OKU dihargai dan diberi ruang untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat serta negara,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan dan berharap ia menjadi pemangkin kepada perubahan sikap serta peningkatan kualiti perkhidmatan di peringkat daerah.

“Semoga program ini memberi impak yang nyata dan menjadi asas kepada kesejahteraan semua lapisan masyarakat di Temerloh,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO