Ahmad Zahid Tegaskan Kepentingan Memperkasa Ekosistem Perlindungan Sosial Negara
PUTRAJAYA, 9 Dis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menekankan komitmen kerajaan untuk memperkukuh ekosistem perlindungan sosial negara dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) Kali Ke-9 yang berlangsung hari ini. Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri di Putrajaya.
Menurut Dr Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, mesyuarat ini memberi fokus kepada pembangunan platform perlindungan sosial, produktiviti sektor penjagaan, serta penyelarasan keselamatan sosial melalui inisiatif Sosial Synergy.

Beliau turut meneliti pembentangan Siri Bantuan Sosial dan Inklusif di Malaysia, yang menekankan kepentingan memperluas jaringan perlindungan sosial, khususnya kepada kumpulan rentan agar tiada sesiapa yang tercicir daripada bantuan yang sewajarnya.
“Tanggungjawab kerajaan jelas – setiap dasar sosial perlu digerakkan secara lebih tersasar, berkesan, dan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat yang memerlukan,” kata Dr Ahmad Zahid.
Beliau menambah bahawa dengan kerjasama erat antara semua kementerian dan agensi, sistem perlindungan sosial negara akan terus diperkasa demi kesejahteraan rakyat serta masa depan Malaysia yang lebih sejahtera.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – UMNO Online
