Belanjawan 2026 Panduan Utama Pembangunan Negeri Sembilan – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 9 Dis — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perbahasan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 memberi tumpuan kepada keperluan semasa negeri bagi tahun mendatang.

Menerusi satu perkongsian di Facebook, beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata sesi persidangan DUN memberi ruang untuk membincangkan keperluan semasa negeri serta hala tuju pembangunan yang lebih mampan.
“Alhamdulillah, pagi tadi saya selesai berbahas sempena pembentangan Belanjawan 2026 Negeri Sembilan pada Persidangan Ketiga Belanjawan Penggal Ketiga DUN Negeri Sembilan Ke-15,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa segala usaha yang dirancang sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat Negeri Sembilan.
“Ini termasuk usaha meningkatkan mutu perkhidmatan, memperkukuh ekonomi, serta memastikan setiap inisiatif kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.” – UMNO Online
