Program Kesedaran Kanak-kanak, Sokongan Wanita Perlu Diperkukuh
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid menegaskan bahawa isu wanita, warga emas dan kanak-kanak adalah aspek utama dalam pembangunan negara dan tidak seharusnya dianggap sebagai isu sampingan.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri berkata di tambah Negeri Sembilan kini sedang menuju negeri menua dengan 12.8 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas, sekaligus keadaan ini memberi kesan besar kerana beban penjagaan warga emas biasanya dipikul oleh kaum wanita.
“Saya ingin mencadangkan program kesedaran keselamatan kanak-kanak terutamanya seperti membanteras isu buli, pendidikan kesihatan reproduktif seperti yang telah saya cadangkan dahulu, pencegahan penderaan juga perlu dirancakkan.
“Kajian menunjukkan 65 peratus warga emas menghadapi dua penyakit tidak berjangkit, maka perkhidmatan kesihatan, pemulihan dan penjagaan di rumah perlu diperkukuh termasuk di Juasseh.
“Pada masa sama, penuaan penduduk membuka peluang silver economy dalam sektor penjagaan dan kesihatan yang boleh dimanfaatkan wanita sebagai penyedia perkhidmatan.
“Justeru, sistem sokongan sosial untuk warga emas, wanita bekerja dan kanak-kanak perlu diperkasakan secara menyeluruh oleh Kerajaan Negeri terutamanya dalam belanjawan ini,” katanya.
Bibi Sharliza berkata demikian ketika Perbahasan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 di DUN hari ini.
Sementara itu, beliau turut sama mengusulkan agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan untuk mewujudkan TVET MicroHub di Juasseh sebagai pilot model Negeri Sembilan.
Menurut beliau MicroHub ini berfungsi sebagai model pusat latihan kecil berasaskan komuniti yang menyediakan latihan teknikal dan vokasional secara lebih fleksibel, dekat dengan masyarakat dan kos rendah, terutamanya di kawasan luar bandar.
“Ia berfungsi sebagai mini learning lab / mini training centre yang memberikan akses awal pada latihan kemahiran, pusat automasi pertanian malah pusat pemasaran digital untuk sokongan pertanian moden dan lain-lain tanpa memerlukan kampus besar.
“Jika kita tidak menyediakan anak luar bandar dengan kemahiran baharu, maka mereka sendiri akan menjadi masyarakat yang tertinggal dalam negeri yang sedang l membangun.
“MicroHub ini juga boleh menyasarkan wanita luar bandar, belia lepasan SPM, komuniti Orang Asli, serta golongan yang ingin menambah kompetensi digital,” ujar beliau. – UMNO Online
