Dakwaan UMNO Terengganu Cuba Timbulkan Polemik Tidak Berasas – Rozi Mamat
KUALA LUMPUR, 9 Dis – UMNO Terengganu hari ini menolak dakwaan yang mengaitkan parti berkenaan dengan usaha mencetuskan polemik dalam rundingan antara kerajaan negeri dengan Felda.
Pengerusinya Datuk Rozi Mamat berkata tuduhan dan cubaan mengaitkan perkara tersebut dengan UMNO Terengganu adalah tidak berasas sama sekali malah mereka menghormati segala perundingan dan tatakelola serta ruang yang dilakukan oleh kedua-dua belah pihak.

“YB Exco janganlah membuat tuduhan yang tidak berasas mengaitkan UMNO dengan usaha menambah polemik dalam isu rundingan kerajaan negeri bersama Felda.
“Untuk makluman, UMNO tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan rundingan tersebut. Kita sangat menghormati proses perundangan, tatakelola serta ruang rundingan antara kerajaan negeri dan pihak Felda. Sikap kita jelas, apa jua keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat mesti dibuat secara tertib, teratur dan mengikut prosedur,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Tegas beliau kenyataan yang menuding jari tanpa bukti adalah tidak wajar, lebih-lebih lagi apabila UMNO kekal mengambil pendekatan berhemah dan tidak campur tangan dalam rundingan yang belum dimuktamadkan.
“Adalah lebih baik semua pihak mengutamakan ketenangan rakyat, menyampaikan fakta sebenar, dan tidak mencetuskan persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Kita sentiasa bersedia bekerjasama dalam apa jua perkara yang memberi manfaat kepada rakyat, namun kita juga berhak menegur apabila dakwaan tidak berasas dilemparkan. Fokus kita adalah rakyat.Bukan polemik,” ujarnya. – UMNO Online
