Kampar IOC Lambang Transformasi Daerah ke Arah Bandar Pintar
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berbesar hati merasmikan Pusat Operasi Bersepadu Majlis Daerah Kampar (IOC).
Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata Kampar IOC merupakan pusat operasi yang dibangunkan oleh Majlis Daerah Kampar selepas Kampar menerima pengiktirafan Bandar Pintar Tahap 1: Smart City Early Adopter pada tahun 2024.
“Menariknya, Kampar adalah antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah pertama di Malaysia yang capai status ini.
“Susulan pengiktirafan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui PlanMalaysia menyalurkan peruntukan RM400,000 sebagai langkah awal ke arah pembangunan Bandar Pintar Daerah Kampar,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi Kampar IOC juga merupakan salah satu daripada komponen penting dalam pembangunan bandar pintar selain daripada komponen lain seperti kamera pengawasan pintar, lampu isyarat pintar dan lampu jalan dengan sistem operasi pintar (pengurusan prestasi cahaya).
Menurut beliau, tujuannya untuk memastikan pemantauan, penyelarasan dan pengurusan bandar jadi lebih sistematik, cepat dan berkesan.
“Dengan sokongan teknologi digital, IOC berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memantau infrastruktur, mengurus aduan awam, mengawal bencana, menjaga keselamatan serta membantu membuat keputusan dengan lebih tepat dan pantas.
Menurut Saarani lagi, Kampar IOC tidak hanya berfungsi sebagai pusat kawalan, tetapi juga menjadi simbol transformasi pentadbiran Majlis Daerah Kampar menuju sebuah bandar pintar, hijau, inklusif dan berdaya huni menjelang tahun 2030 sebagai bandar yang lebih tersusun, lebih selamat dan lebih mesra rakyat. – UMNO Online
