Sukan SEA Thailand: Ahmad Zahid Ucap Selamat Maju Jaya Buat Atlet Malaysia
KUALA LUMPUR, 9 Dis – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendoakan yang terbaik buat semua atlet yang menggalas cabaran Malaysia di Sukan SEA Thailand, yang akan bermula hari ini sehingga 20 Disember 2025.
“Seramai 1,652 anggota kontinjen negara, terdiri daripada 1,138 atlet dan 514 pegawai, akan menyertai temasya kali ini, menjadikannya penyertaan terbesar Malaysia sejak Sukan SEA Singapura 2015.

“Kontinjen Malaysia bakal bersaing dalam 457 daripada 573 acara yang dipertandingkan. Teruskan berjuang dengan semangat luar biasa, disiplin tinggi dan fokus yang tidak pernah goyah,” kata Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dalam satu entri di Facebook.
Justeru, Ahmad Zahid menyeru kepada semua atlet agar yakin kepada kemampuan diri sendiri.
“Seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang anda, sentiasa memberikan sokongan serta doa yang tidak berbelah bagi.
“Semoga kejayaan menjadi milik kita bersama. All the best, Team MAS! Pulanglah dengan pencapaian yang membanggakan negara. Ayuh Malaysia, lakukan yang terbaik!,” katanya lagi. – UMNO ONLINE
