Belanjawan Pahang 2026 Bukti Urus Tadbir Cekap, Ekonomi Terus Meningkat – Nizar Najib
KUANTAN, 9 Dis – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohamad Nizar Najib, menyifatkan Belanjawan Pahang 2026 yang dibentangkan Jumaat lalu sebagai sebuah belanjawan yang komprehensif, inklusif dan menyantuni semua lapisan rakyat.
Menurut beliau, prestasi kewangan negeri yang kukuh membuktikan pentadbiran Pahang menguruskan hasil negeri secara cermat dan bertanggungjawab.
“Alhamdulillah, belanjawan yang dibentangkan ini mencerminkan urus tadbir kewangan yang baik. Terlalu banyak pencapaian membanggakan, dan ia memberi gambaran jelas bahawa ekonomi Pahang berada di landasan kukuh,” katanya.
Antara pencapaian utama yang direkodkan melalui belanjawan berkenaan ialah:
• Pungutan hasil melebihi RM1 bilion untuk empat tahun berturut-turut.
• Pertumbuhan KDNK 5.7%, mengatasi paras nasional 5.1% pada tahun 2024 dengan nilai ekonomi negeri mencecah RM68.7 bilion.
• Syarikat-syarikat berkaitan negeri (S-GLC) menyumbang RM3.16 bilion atau 4.6% kepada ekonomi negeri.
• Pelaburan komited RM18.04 bilion, melepasi sasaran RM14.09 bilion sehingga November 2025.
• Kadar pengangguran menurun kepada 1.7%, bersamaan 13,800 orang pada suku ketiga 2025
• Kerajaan Negeri menerima Sijil Ketua Audit Negara – Pendapat Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Tahun 2024.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kerana prestasi kewangan cemerlang ini membolehkan penjawat awam negeri menerima bantuan khas kewangan bersamaan dua bulan gaji pada 2026.
Dalam masa sama, Mohamad Nizar menyatakan rasa terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan terhadap pembangunan Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri berkenaan.
Antara langkah signifikan dalam belanjawan ialah peruntukan RM500,000 bagi memacu inovasi dan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) melalui Pahang STEM Competition.
“Insya-Allah, Belanjawan 2026 akan membawa limpahan manfaat yang besar kepada rakyat negeri Pahang, serta terus memacu negeri ke arah kemajuan lebih mampan,” katanya. – UMNO Online
