Malaysia Sasar Jadi Peneraju Teknologi Getah Mampan Global – Johari

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Malaysia berhasrat menjadi peneraju teknologi getah mampan global dengan membawa kepakaran dan ekosistem penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke negara pengeluar getah asli.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia perlu memanfaatkan kepakaran kemampanan, kebolehjejakan, ketelusan serta tanggungjawab sosial dan ekonomi kitaran.

“Kita cadangkan agar Lembaga Getah Malaysia (LGM) membawa teknologi, sistem dan R&D ke negara-negara yang mengusahakan ladang getah. Kita pilih syarikat ladang di sana supaya mereka boleh mengadaptasi strategi pengeluaran mampan.

“Jadi kalau mereka sudah amalkan sistem yang mampan di negara mereka, mereka akan bawa produk-produk ini ke Malaysia dan kita proses, maka nilai ini akan meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan 100 Tahun Penyelidikan Getah di sini, hari ini.

Johari berkata, jumlah pengeluaran getah mampan negara ketika ini adalah sekitar 350,000 tan, sedangkan permintaan bagi produk getah mampan mencecah lebih satu juta tan.

“Sejak ditubuhkan, Institut Penyelidikan Getah Malaya (RRIM) yang kini dikenali sebagai LGM, telah mengkomersialkan lebih 200 teknologi R&D dan mendaftarkan 394 paten,” ujarnya.

Jelasnya, perkembangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi getah global merangkumi keseluruhan rantaian nilai industri getah. – BULETINTV3

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO