Masa Depan Sabah Bergantung Kepada Kepimpinan Jemaah Menteri

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Samasuddin Yusop menzahirkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang baharu, sambil menyuarakan keyakinan bahawa kepimpinan tersebut mampu memperkukuh pembangunan negeri serta mengutamakan kesejahteraan rakyat Sabah.

Menurutnya, pelantikan barisan pentadbiran baharu itu perlu dilihat sebagai peluang untuk memperkukuhkan kestabilan politik dan mempercepatkan agenda pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

“Saya merakamkan ucapan tahniah kepada barisan Jemaah Menteri yang baharu. Saya yakin kepimpinan ini mampu memperkukuh pembangunan negeri dan mengutamakan kesejahteraan rakyat Sabah.

“Ini bukan masa untuk berpolitik. Rakyat mahukan pentadbiran yang stabil, kepimpinan yang berkesan dan hasil yang mampu meningkatkan taraf hidup mereka.

“Masa depan Sabah bergantung kepada kecekapan kita merancang dasar tepat dan keberanian melaksanakannya. Pembangunan mesti dirasai rakyat melalui peluang pekerjaan, infrastruktur moden dan kesejahteraan keluarga,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut kata Samasuddin lagi, kestabilan politik adalah kunci utama untuk menarik pelabur, merangsangkan ekonomi dan memastikan pembangunan jangka panjang.

“Kestabilan menjadi faktor penentu keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi dan pembangunan jangka panjang negeri. Kita memerlukan suasana politik yang matang dan bersatu,” katanya lagi.

Pada masa yang sama, Samasuddin menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, seorang tokoh politik berprinsip, disegani dan berpengaruh di Sabah.

“Allahyarham seorang pemimpin yang tegas dan mempunyai komitmen tinggi terhadap perjuangan rakyat. Jasa beliau terhadap negeri ini sangat besar dan akan terus dikenang. Semoga Allahyarham dicucuri rahmat serta keluarga diberikan kekuatan menghadapi saat sukar tersebut,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO