Pemergian Bung Moktar… Wan Rosdy, Tengku Adnan Zahir Ucapan Takziah
KUALA LUMPUR, 5 Dis – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan takziah di atas pemergian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Jumaat.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berkata, Bung Moktar adalah insan yang bekerja keras untuk memastikan UMNO/Barisan Nasional (BN) terus bertapak di Negeri Sabah.

“Hari ini saya kehilangan seorang sahabat dan rakan seperjuangan.
“Beliau inilah yang telah memastikan UMNO terus bertapak di Sabah ketika parti ini ditinggalkan rakan-rakan lain suatu ketika dahulu.
“Beliaulah yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada dalam pemilihan sebagai Naib Presiden Parti yang lepas ketika saya menawarkan diri untuk bertanding,” katanya.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang turut menyingkap kenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang mengeratkan lagi jalinan persahabatan mereka.
“Hubungan persahabatan kami terus terjalin erat dan rapat sepanjang Pilihan Raya Negeri Sabah.
“Tiada kesakitan yang terzahir dari beliau selain dari sebuah perjuangan. Tiada kata untuk menggambarkan apa yang saya rasakan ketika ini. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga,” katanya.
Sementara itu, Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berpandangan bahawa Allahyarham adalah ikon kepimpinan dan perjuangan yang terus istiqamah sehingga ke akhir hayat.

“Sungguh, Allahyarham adalah ikon kepimpinan dan perjuangan yang tidak pernah gentar dengan cabaran, setia setiap masa dan terus istiqamah hingga ke akhir hayatnya.
“Hari ini Allahyarham meninggalkan legasi yang tidak akan pernah dilupakan dalam nilai perjuangan bukan sahaja dalam UMNO dan Barisan Nasional tetapi juga dalam arena kepimpinan negara lantaran keteguhannya dalam prinsip yang tidak pernah goyah.
“Katalah apa pun, Allahyarham tetap berpegang kukuh, tidak pernah mundur atau beralah dan sentiasa kasih pada akar umbi asas perjuangan yang menjadi pegangannya,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham.
“Kita hari ini bukan hanya kehilangan pemimpin tapi mengiringi perjalanan akhir seorang pejuang yang tidak ada galang ganti. Berehatlah sahabat.
“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham, diterima amal baktinya dan dimuliakan kedudukan disisi-Nya. Al-Fatihah,” katanya.
Pada Jumaat media melaporkan Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Berita sedih pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan itu dikongsi anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar di Facebooknya.
Difahamkan, Allahyarham menghadapi kegagalan buah pinggang dan dimasukkan ke hospital, di sini, sejak pagi Khamis. – UMNO Online
