Melaka Perkukuh Dasar Penginapan Pekerja Demi Kebajikan, Kelestarian Bandar
MELAKA, 5 Dis – Kerajaan Negeri Melaka terus komited memastikan kebajikan pekerja terpelihara melalui penyediaan penginapan yang selamat, tersusun dan berpiawaian, selaras dengan usaha mengekalkan kesejahteraan komuniti setempat dan kelestarian pembangunan bandar.
Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penginapan Pekerja Negeri Melaka Bil. 3/2025 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Tun Fatimah, Kompleks Seri Negeri, sejurus selesai Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), pada Khamis.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada pertimbangan permohonan baharu penginapan pekerja yang dikemukakan oleh pihak berkuasa tempatan melibatkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
“Selain menilai permohonan baharu, kita juga membincangkan kesinambungan permohonan sedia ada yang akan tamat pada Disember 2025 serta cadangan penambahbaikan dasar,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput itu.
Rais turut memaklumkan bahawa antara cadangan yang dibincangkan ialah menjadikan rumah pangsa kos rendah sebagai Central Labour Quarters (CLQ) bagi memastikan penempatan pekerja dilaksanakan secara lebih tersusun dan terkawal.- UMNO Online
