Veteran UMNO, MUBARAK Johor Anjur Program Menjejak Akar 6 Dis ini

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Veteran UMNO dan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Johor akan menganjurkan Program Menjejak Akar pada Sabtu ini di Dewan Kompleks Seri Pekembar, Pagoh.

Dalam satu hebahan di laman Facebook Veteran UMNO Johor, program tersebut yang bermula jam 2 petang hingga 5 petang akan dihadiri bekas Menteri Besar Johor Tan Sri Abd Ghani Othman.

“Program ini dianjurkan bersama oleh Veteran UMNO Negeri Johor serta MUBARAK Johor, dua badan yang sentiasa dekat di hati masyarakat akar umbi sejak dahulu hingga kini.

“Walaupun masa berlalu dan zaman berubah, asas perjuangan membela Agama, Bangsa dan Negara tetap kekal subur dalam jiwa kami,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu juga, Menjejak Akar membawa erti kembali kepada perjuangan asas – bukan sahaja dari sudut fizikal, tetapi lebih penting lagi kepada roh perjuangan yang berteraskan tuntutan agama Islam, benteng kekuatan perjuangan UMNO sejak penubuhannya pada tahun 1946, hampir 80 tahun yang lalu.

“Mari bersama-sama kita hayati, segarkan dan kukuhkan kembali semangat perjuangan ini. Jumpa anda di Pagoh!,” ujar kenyataan itu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO