UMNO Johor Bahru Sambut Baik Kelulusan Akta Antibuli 2025
JOHOR BAHRU, 4 Dis – UMNO Bahagian Johor Bahru menyambut baik kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 di Dewan Rakyat, dan ia merupakan satu langkah besar dalam memastikan keselamatan, kesejahteraan dan pembentukan sahsiah anak-anak kita terus terpelihara.
Ketua Penerangannya, Ahmad Solehin Abd Ghani dalam satu kenyataan di sini berkata, UMNO Johor Bahru juga merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said, seorang tokoh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang konsisten memperjuangkan reformasi perundangan berteraskan perlindungan rakyat di mana kecekalan dan ketegasan beliau memastikan Malaysia mempunyai kerangka undang-undang moden dan menyeluruh untuk menangani isu buli secara tuntas.

“Pelaksanaan RUU ini, termasuk penubuhan Tribunal Antibuli yang boleh mengeluarkan perintah pampasan sehingga RM250,000 menunjukkan komitmen kerajaan untuk memihak kepada mangsa serta memastikan proses keadilan yang lebih cepat dan efektif.
“Langkah mewajibkan ibu bapa atau penjaga terlibat dalam sesi kaunseling turut mencerminkan pendekatan holistik dan menunjukkan bahawa pencegahan buli bukan hanya beban guru atau sekolah, tetapi tanggungjawab bersama,” katanya lagi.
Tambahnya lagi, statistik yang menunjukkan purata 14,000 kes buli setiap tahun dan hampir sembilan peratus pelajar menjadi mangsa adalah amaran yang tidak boleh dipandang ringan.
“Justeru, Akta Antibuli ini hadir tepat pada waktunya untuk melindungi generasi muda yang merupakan aset paling berharga negara.
“UMNO Johor Bahru beriltizam untuk menyokong pelaksanaan undang-undang ini melalui program komuniti, kesedaran awam dan kerjasama dengan agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan mesej anti-buli sampai ke setiap peringkat masyarakat,” katanya. – UMNO ONLINE
