Hartanah@Perak Dashboard Perumahan Berasaskan Geospatial, Mudah Diakses – MB

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Kerajaan Negeri Perak mengambil satu lagi langkah penting untuk mudahkan hidup rakyat dengan melancarkan Hartanah@Perak.

Ujar Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad, Hartanah@Perak merupakan sebuah dashboard perumahan berasaskan geospatial yang memaparkan semua projek perumahan di negeri ini secara telus, terperinci dan mudah untuk diakses.

“Melalui platform ini, rakyat boleh melihat sendiri status pembinaan, perancangan, lokasi projek, kategori perumahan serta kedudukan projek sakit dan terbengkalai.

“Semua dalam satu tempat. Dengan cara ini kita dapat pastikan setiap perancangan perumahan di bawah Perak Sejahtera 2030 dapat dipantau dengan jelas, terbuka dan berasaskan data,” kongsi Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak di dalam Facebooknya.

Menurut Saarani lagi, pelancaran berkenaan berlangsung dalam Program Aspirasi Geospatial Negeri Perak 2025 di Casuarina Meru, Ipoh petang semalam, yang menghimpunkan pakar-pakar geospatial, agensi kerajaan dan pihak keselamatan bagi memperkukuh penggunaan data spatial demi perancangan negeri yang lebih tepat, selamat dan berkesan.

“Matlamat kita hanya satu. Untuk jadikan Perak sebuah negeri yang moden, berdaya saing dan menggunakan teknologi sebaiknya bagi memastikan setiap pembangunan yang berlangsung dapat beri manfaat kepada rakyat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO