Pemuda UMNO Terus Prihatin, Hulur Bantuan Pasca Banjir Sekitar Kangar
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perlis, Saiful Fariddil Jasmi terus prihatin dengan melakukan ziarah kasih bagi menyantuni mangsa banjir yang terjejas di beberapa kawasan sekitar Kangar.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kangar menyampaikan bantuan keperluan asas kepada penduduk yang terkesan, sebagai usaha meringankan beban mereka pasca banjir yang melanda.
Kunjungan itu juga bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi juga sebagai tanda keprihatinan dan solidariti terhadap mereka yang sedang diuji.
“Saya bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda Pemuda UMNO Bahagian Kangar melakukan ziarah kasih dan penyerahan bakul makanan kepada penduduk di Kampung Behor Gandil yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.
“Pemuda UMNO Kangar melakukan penyerahan di Kampung Behor Gandil, seterusnya Kampung Kota Keran dan Kampung Desa Permai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Sementara itu, beliau turut sama meninjau keadaan selepas banjir di beberapa kampung sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kayang dan Indera Kayangan.
Penyampaian bantuan juga turut diberikan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut.
“Saya amat bersimpati melihat keadaan rumah mereka yg dilanda banjir baru-baru ini.
“Semoga mereka semua diberikan kekuatan dan dipermudahkan segala urusan,” ujar beliau. – UMNO Online
