Aktiviti Bermanfaat Di PPS Bantu Psikologi Mangsa Banjir – Dr Fathul
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya berbesar hati turun padang melawat mangsa banjir yang terjejas.
Beliau pada menerusi hantaran di Facebook memaklumkan berkunjung ke tujuh Pusat Perpindahan Sementara (PPS) bagi melihat sendiri situasi sebenar di lapangan.
Pada kunjungan tersebut Dr Fathul menyambut baik dengan langkah dilakukan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) yang melaksanakan program kesihatan, ceramah kerohanian, aktiviti kanak-kanak serta sesi kaunseling yang membantu meringankan tekanan emosi mangsa,
“Apa yang benar-benar menarik perhatian saya ketika melawat tujuh PPS di Kangar, yang berdaftar dengan PKOB sekitar Sena, Indera Kayangan, Bintong dan Kayang ialah kewujudan pelbagai program dan aktiviti bermanfaat dijalankan di pusat-pusat ini.
“Saya melihat sendiri bagaimana setiap PPS menyediakan program kesihatan, aktiviti penjagaan kebersihan, aktiviti khusus untuk kanak-kanak, serta aktiviti kerohanian seperti solat berjemaah, sesi tazkirah dan khidmat kaunseling.
“Sebagai contoh di IPG Kampus Perlis, penglibatan yang begitu serius daripada para guru dan pelajar wajar dijadikan teladan semangat kesukarelawanan yang tinggi. Pengisian terancang yang mereka laksanakan bukan sahaja membantu meningkatkan kesihatan fizikal mangsa, malah turut memperkukuhkan kesejahteraan mental mereka yang sedang melalui tekanan emosi akibat bencana,” katanya.
Dr Fathul dalam pada itu berharap pendekatan seperti ini dapat diselaras untuk kesemua PPS di negeri Perlis pada masa hadapan, agar kebajikan dan ketahanan mental mangsa sentiasa menjadi keutamaan utama.
Katanya lagi melihat kepada kesungguhan tersebut beliau amat menghargai komitmen semua pihak yang terlibat termasuk guru, petugas kesihatan, sukarelawan mahupun agensi-agensi berkaitan kerana berjaya mewujudkan suasana yang selamat, teratur dan menenangkan mangsa-mangsa banjir.
“Inilah contoh terbaik bagaimana sebuah PPS seharusnya berfungsi bukan sekadar tempat perlindungan tetapi ruang pemulihan, tempat mangsa merasa dibantu, dihargai, dibimbing dan diberi kekuatan untuk melalui ujian ini,” ujar beliau. – UMNO Online
