Saarani Turun Padang, Santuni Mangsa Banjir
KUALA LUMPUR, 1 Dis – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menyantuni mangsa yang terkesan akibat bencana banjir pada Ahad.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau juga telah turun untuk meninjau jalan utama penduduk Pulau Pangkor yang retak akibat hujan lebat yang berterusan.

“Turun ke Pulau Pangkor setelah dimaklumkan mengenai kejadian jalan utama retak akibat hujan lebat berterusan kebelakangan ini. Saya telah meminta Pegawai Daerah Manjung mengambil tindakan yang sewajarnya serta melaksanakan proses pemulihan sesegera yang mungkin.
“Tidak jauh dari situ, berlaku kejadian tanah runtuh di Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Manjung, Pangkor yang menimbulkan rasa khuatir pelajar, guru dan ibu bapa.
“Pihak jabatan teknikal juga telah diminta melakukan penilaian menyeluruh untuk memastikan kawasan ini benar-benar selamat sebelum sebarang aktiviti pembelajaran diteruskan.
“Pada masa genting begini, soal keselamatan mesti jadi keutamaan.
Mudah-mudahan keadaan menjadi semakin baik, dan segala usaha pembaikan dipermudahkan. Insha-Allah,” katanya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan bahawa keperluan asas seperti makanan, rawatan kesihatan dan kelengkapan harian untuk mangsa banjir berada dalam keadaan baik.
“Lepas selesai urusan di Pangkor tadi, terus ke SK Pengkalan Baharu, Daerah Manjung ziarah mangsa bencana banjir di sini. Tersentuh melihat ketabahan mereka yang sedang diuji dengan bencana. Seramai 49 keluarga ditempatkan di sini.
”Saya ajukan kata-kata semangat dan beri dukungan supaya kebajikan mereka sepanjang di pusat pemindahan sementara (PPS) akan diberi perhatian. Alhamdulillah, keperluan asas termasuk makanan, rawatan kesihatan serta kelengkapan harian mereka semuanya tersedia dengan baik.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih buat para petugas jabatan serta agensi kerajaan, sukarelawan, NGO termasuk semua pihak yang telah bertungkus-lumus membantu. Sama-sama kita doakan agar kesemua mereka yang terkesan diberi kekuatan dalam menghadapi musibah ini,” katanya lagi. – UMNO Online
