Ahmad Zahid Ingatkan Rakyat Berwaspada Dengan Paras Air Sungai

KUALA LUMPUR, 29 Nov — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap paras air sungai di kawasan masing-masing berikutan cuaca tidak menentu dan hujan berterusan di beberapa negeri.

Menurut beliau, laporan terkini daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan beberapa sungai di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Terengganu dan Kelantan kini berada pada paras Waspada, Amaran dan Bahaya.

Orang ramai disarankan untuk menyemak status semasa paras air melalui portal Public Info Banjir di
publicinfobanjir.water.gov.my.
Ahmad Zahid turut menasihatkan masyarakat, khususnya mereka yang tinggal berhampiran sungai, agar menjauhi kawasan berisiko dan memberi perhatian penuh terhadap amaran cuaca, terutama ketika hujan lebat berpanjangan.

“Sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, jauhi arus deras dan patuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau turut mendoakan keselamatan semua pihak dan berharap urusan rakyat dipermudahkan sepanjang musim hujan ini. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO