Henti Momokkan Rakyat Dengan Naratif Hutang – TPr Abdul Razak

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ketua UMNO Bahagian Kepong, TPr Abdul Razak Abdul Rahman menegur pihak tertentu agar berhenti memomokkan rakyat dengan naratif ‘tekanan hutang’ tanpa melihat keseluruhan kedudukan kewangan negara.

Beliau menegaskan, kenyataan kononnya negara terbeban teruk adalah tidak tepat sekiranya tidak mengambil kira kedudukan aset serta pulangan besar yang telah berjaya diperoleh kerajaan melalui pelbagai proses pemulihan.

Menurutnya, kerajaan telah menerima pulangan signifikan hasil pemulihan aset, penyelesaian dengan institusi kewangan serta bayaran balik pihak berkaitan, dan antara hasil terbesar ialah penyelesaian dengan Goldman Sachs, pemulangan aset oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS), dan bayaran daripada firma profesional yang semuanya dimasukkan ke dalam Akaun Pemulihan Aset untuk manfaat rakyat.

“Cukuplah bermain politik persepsi. Hutang memang wujud (seperti mana-mana perniagaan), tetapi ia disokong oleh aset (asset-backed) yang nilainya kian meningkat setiap tahun. Kerajaan telah membayar berpuluh bilion ringgit terhadap obligasi 1MDB setakat ini, dan jumlah pemulihan yang diterima kerajaan juga besar… ini bermakna kerajaan telah mengurangkan beban hutang melalui hasil pemulihan dan penyelesaian. Namun begitu, masih ada baki hutang yang perlu ditangani usaha pemulihan dan rundingan sedang berjalan untuk menyelesaikannya sepenuhnya.

“Ini tidak termasuk lagi beberapa manfaat sebelum ini yang telah dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia sebelum itu. Antaranya adalah Nilai Aset Bersih Khazanah meningkat hampir empat kali ganda dalam sembilan tahun pentadbiran Datuk Seri Najib Razak. Dari RM32 bilion (2008) ke RM116 bilion (2017). Rizab tunai Petronas meningkat lebih dua kali ganda dari RM80 bilion (2008) ke RM174 bilion pada Jun 2018.

“Nilai aset Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) meningkat hampir empat kali ganda dari RM4.43 bilion (2008) ke RM15.79 bilion (2017) tanpa sebarang pengeluaran. Aset Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) meningkat hampir tiga kali ganda dalam sembilan tahun Najib, dari RM52 bilion (2008) ke RM140.8 bilion (2017), tanpa sebarang pengeluaran oleh kerajaan. Belum ambil kira lagi dana antara RM190 bilion hingga RM210 billion yang dijimat Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akibat penyelesaian perjanjian-perjanjian IPP berat sebelah yang diselesaikan pada tahun 2012 masa Najib dengan bantuan 1MDB,” katanya kepada UMNO Online.

Tambah TPr Abdul Razak, rakyat perlu tahu hasil semakan data dan laporan kewangan dan bukannya dengan persepsi.

“Hutang pokok telah/sedang dilunaskan. Sebahagian besar hutang utama (principal debt) 1MDB telah berjaya dibayar, termasuk bon bernilai berbilion ringgit yang matang pada tahun-tahun kebelakangan ini. Pembayaran ini bukan semata-mata dari poket rakyat, tetapi sebahagian besarnya menggunakan Dana Akaun Amanah (Recovery Trust Account) hasil daripada penyelesaian dengan Goldman Sachs, DOJ, dan pemulangan aset lain.

“Aset mega yang menjana untung (TRX). Jangan lupa, 1MDB meninggalkan aset nyata yang kini menjadi ‘Crown Jewel’ ekonomi Malaysia, iaitu Tun Razak Exchange (TRX).
TRX kini menjadi hab kewangan antarabangsa dengan GDV (Gross Development Value) dianggarkan melebihi RM40 Bilion.

“Syarikat gergasi dunia (HSBC, Prudential, Affin Bank) memindahkan ibu pejabat mereka ke sana. Pusat beli-belah The Exchange TRX kini menjadi tumpuan pelancong dan penjana cukai yang besar untuk negara,” katanya lagi.

Seterusnya kata beliau, keuntungan secara langsung dan tidak langsung dapat menolak hutang.

“Jika kita menolak jumlah hutang dengan nilai aset TRX ditambah Bandar Malaysia ditambah Wang Penyelesaian (Settlement Money), matematik mudah menunjukkan bahawa nilai aset sebenarnya berpotensi melebihi baki liabiliti.

“Negara akan mendapat hab kewangan bertaraf dunia. Cukai pendapatan korporat dari syarikat di TRX dan peluang pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO