Dr Zambry Turun Padang, Lawat Mangsa Banjir
KUALA LUMPUR, 28 Nov – Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah turun padang untuk melawat mangsa banjir yang berlaku di Pulau Pangkor dan Manjung pada Khamis.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi telah turun ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah tersebut.

“Banjir yang melanda Pulau Pangkor dan Manjung kali ini sememangnya luar biasa dan di luar kebiasaan. Walaupun saya berada di Sabah untuk tugasan rasmi, saya telah memantau secara dekat segala gerak kerja dan penyelarasan bantuan yang perlu segera disampaikan kepada mangsa-mangsa banjir di kawasan terlibat.
“Lewat malam tadi saya kembali dari Sabah dan awal pagi ini saya terus turun ke lapangan bagi meninjau beberapa PPS yang telah dibuka, antaranya di SK Batu 10 Lekir, SK Sungai Tiram, SK Muhammad Saman dan Dewan Orang Ramai Batu 4 Segari.
“Sejak hari pertama bencana melanda, pelbagai bentuk bantuan telah kita salurkan kepada mangsa daripada keperluan asas, makanan, selimut, logistik sehinggalah sokongan awal pembersihan di kawasan terjejas,” katanya.
Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, gerak kerja sepadu rakan-rakan UMNO Bahagian Lumut bersama pihak berwajib telah memastikan bantuan dapat digerakkan dengan teratur.
“Alhamdulillah, gerak kerja sepadu rakan-rakan di UMNO Bahagian bersama agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan dan para sukarelawan telah memastikan bantuan dapat digerakkan dengan cepat serta teratur.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang tampil menghulurkan bantuan, termasuk mereka yang menyediakan sokongan emosi dan psikologi kepada mangsa yang trauma akibat kejadian ini.
“Saya juga telah berbincang dengan pegawai-pegawai bertanggungjawab untuk memastikan semua mangsa yang terkesan diberikan perhatian sepenuhnya, bukan sahaja ketika banjir berlaku, bahkan juga dalam fasa pasca banjir termasuk penilaian kerosakan, kebersihan rumah, keselamatan keluarga dan pemulihan emosi,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut mendoakan agar mereka yang terkesan dengan bencana tersebut dikurnikan ketabahan untuk menghadapinya.
“Sama-sama kita doakan agar mereka yang terkesan dengan ujian bencana banjir di mana jua berada diberi kekuatan dan dapat kembali pulih sepenuhnya.
“Pada masa yang sama, Skuad Majlis Sukarelawan Universiti Awam (MASKUM) telah diminta untuk bersiap siaga dan turun membantu operasi pembersihan pasca banjir di kawasan yang memerlukan.
“Semoga segala usaha kita dipermudahkan dan mangsa-mangsa banjir diberi perlindungan serta ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya lagi. – UMNO Online
