Johor Siap Siaga Hadapi Risiko Banjir, MB Seru Rakyat Peka Demi Keselamatan

KUALA LUMPUR, 28 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan kerajaan negeri kini berada dalam mod kesiapsiagaan tinggi melalui pemantauan berterusan di kawasan berisiko banjir.

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata ia termasuk mobilisasi aset keselamatan, serta penyediaan logistik kritikal bagi memastikan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan segera demi keselamatan penduduk di kawasan terjejas.

“Buat seluruh bangsa Johor, laporan terkini daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) serta MET Malaysia menunjukkan bahawa beberapa kawasan di Segamat, Tangkak dan Muar berada pada risiko banjir susulan hujan lebat berterusan yang berlaku sejak semalam.

“Ia dijangka berterusan sehingga 29 November 2025, terutamanya di kawasan lembangan sungai dan kawasan rendah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Onn Hafiz mengingatkan rakyat negeri itu agar sentiasa mengikuti makluman rasmi daripada Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), MET Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Dalam pada itu beliau turut berharap rakyat untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak keselamatan jika diminta berpindah demi keselamatan.

“Marilah kita sama-sama berdoa agar cuaca kembali stabil dan Johor dijauhkan daripada sebarang bencana.

“Semoga Allah SWT memelihara negeri dan seluruh rakyat Johor. Insya-Allah,” ujar beliau.

METMalaysia hari ini memberi amaran hujan berterusan kategori buruk dikeluarkan di daerah Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Bera dan Rompin di Pahang; serta Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling dan Hulu Langat di Selangor.

Amaran sama dikeluarkan bagi daerah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan serta Tangkak, Segamat dan Muar di Johor.

“Amaran hujan berterusan kategori waspada hingga esok pula membabitkan beberapa daerah di Kedah, Perak dan Johor serta keseluruhan Pulau Pinang serta Kelantan,” katanya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO