Amaran Hujan Berterusan, MB Johor Seru Rakyat Sentiasa Waspada

KUALA LUMPUR, 27 Nov – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyeru rakyat negeri itu untuk sentiasa berwaspada ekoran amaran Hujan Berterusan (Waspada) telah dikeluarkan bagi daerah Segamat dan Tangkak, dari 28 hingga 29 November 2025 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)

Beliau yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri berkata amaran tersebut berkait dengan jangkaan Sistem Cuaca Bertekanan Rendah yang kini berada di Selat Melaka dan dijangka bergerak ke timur merentasi Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang, sekali gus memberi kesan kepada kawasan utara Johor.

“Saya menyeru seluruh Bangsa Johor untuk sentiasa peka dengan perkembangan cuaca semasa serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan rendah, berhampiran sungai atau kerap terjejas ketika musim hujan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Onn Hafiz dalam pada itu turut sama memaklumkan kerajaan negeri bersama agensi keselamatan dan pengurusan bencana sedang bersiapsiaga, termasuk pemantauan paras air sungai, logistik dan penyelarasan tindakan di kawasan yang berisiko.

Katanya langkah ini bagi memastikan setiap keperluan bantuan dapat digerakkan segera sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.

“Semoga Allah SWT mempermudahkan segala urusan kita dan melindungi negeri Johor daripada sebarang bencana,” ujar beliau.

Terdahulu MetMalaysia memaklumkan, jangkaan itu susulan ribut tropika yang dijangka bergerak ke arah Timur Tenggara dengan kelajuan 24 kilometer per jam (km/j) dan boleh mencapai kelajuan angin maksimum sehingga 56 km/j.

Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang dan laut bergelora di Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia melalui laman web www.met.gov.my, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline, MetMalaysia 1-300-22-1638. UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO