Perkukuhkan Gerak Kerja GOTV, BN Yakin Lonjakan Sokongan – Rais
KARUMBUNAI, 27 Nov — Jentera Barisan Nasional (BN) diseru memperkukuhkan usaha mengeluarkan seramai mungkin pengundi khususnya pengundi ‘putih’, sebagai langkah penting memastikan kemenangan parti pada Sabtu ini.
Timbalan Pengerusi BN Negeri Melaka Datuk Rais Yasin berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan jentera pelbagai peringkat termasuk negeri angkat dan akar umbi yang sudah mahir dalam prosedur ketika hari mengundi serta tatacara operasi pilihan raya.

“Inilah yang sangat-sangat penting bagi kita semua untuk meraih kemenangan. Saya yakin dan percaya semua jentera Barisan Nasional baik daripada negeri angkat sehinggalah ke peringkat akar umbi, mereka semua sudah mahir tentang proses ‘Get Out The Voters’ (GOTV).
“Kita harapkan supaya pada 29 haribulan ini (Sabtu) segala-galanya berjalan dengan lancar,” kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka itu kepada UMNO Online.
Rais ditemui sebaik selesai program Himpunan Anak Muda DUN Karambunai yang diadakan di Dewan Terbuka Sarayo Malawa KKIP, di sini, Rabu malam yang menghimpunkan hampir 1,000 anak muda tempatan.
Hadir sama Pengerusi BN Melaka merangkap Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan calon BN DUN Karambunai Datuk Yakub Khan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan daripada penyanyi terkemuka tanah air iaitu Datuk Hattan, Black Hanifah serta penghibur Yassin Senario dan artis tempatan Rey Kimara.
Seterusnya, dalam perkembangan yang berkaitan, Rais berharap semua gerak kerja yang dirancang pada hari pengundian nanti berjalan lancar dan dapat direalisasikan bagi membantu kemenangan calon BN, khususnya di dua kawasan kelolaan negeri Melaka iaitu Datuk Yaakob Khan di DUN Karambunai dan Arfanshah Abdul Gafar (DUN Darau).

Mengulas mengenai calon BN, Rais tertarik dengan komitmen Yakub melalui enam aku janji yang antara lain memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur.
Beliau menyifatkan tawaran itu sebagai praktikal dan mampu dilaksanakan, berbanding janji pihak lain yang disifatkan tidak realistik.
“Antaranya adalah beliau berhasrat untuk mewartakan kampung-kampung tradisi. Apabila kampung-kampung ini diwartakan barulah boleh dapat proses airnya ataupun elektriknya secara sah.
“Jadi, hanya anak tempatan yang membesar dan faham tentang keadaan di Karambunai ini sahaja yang tahu bagaimana untuk melakukannya. Dan saya yakin dan percaya beliau (Yakub) adalah anak jati Karambunai dan memang ada di sini tinggal di sini,” katanya lagi.
Justeru, Rais menyatakan keyakinan terhadap kemampuan Yakub selaku penyandang untuk meneruskan usaha menyelesaikan pelbagai isu yang masih dihadapi penduduk Karambunai, sambil menyeru pengundi memberi peluang semula kepada Yakub pada pilihan raya kali ini. – UMNO ONLINE
