BN Bawa Kestabilan, Sabah Perlukan Perubahan – Maslin Sham
TAWAU, 27 Nov – Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman berkata rakyat Sabah kini berada pada satu titik perubahan penting yang bakal menentukan hala tuju negeri.
Menurutnya, inilah masa terbaik untuk rakyat Sabah membuat keputusan yang bijak dengan memilih pentadbiran yang benar-benar mampu membawa kestabilan, kemajuan serta kesejahteraan kepada seluruh rakyat.

“Inilah masanya rakyat Sabah bertindak untuk mengubah wajah negeri ini agar menjadi lebih baik. Jangan terpengaruh dengan dakyah atau hasutan parti lawan yang mendakwa Barisan Nasional (BN) tidak cukup baik untuk rakyat Sabah.
“Sabah seolah-olah ketinggalan sejak BN tidak lagi menerajui pentadbiran negeri. Ketidakstabilan kerajaan yang memerintah sebelum ini menyebabkan banyak perancangan dan pembangunan tergendala.
“BN sentiasa menghormati para pengundi Sabah, dan sudah tentu rakyat negeri ini berhak memilih untuk memperbaharui wajah Sabah mengikut acuan mereka sendiri,” katanya kepada UMNO Online selepas program minum petang bersama calon BN.
Turut hadir Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; calon BN DUN Apas, Dr Elmiariezan Ardan; calon BN DUN Balung, Erwan Palette; Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hang Tuah Din; Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman serta para pengundi.
Mengulas lanjut, Maslin Sham berkata calon-calon BN bukan sahaja mempunyai latar belakang yang kukuh, malah disenangi masyarakat setempat kerana sifat mereka yang mudah didekati serta komitmen tinggi dalam mendengar dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Alhamdulillah, calon-calon BN mempunyai latar belakang yang baik, mudah didekati dan sentiasa bersama masyarakat. Kita berdoa, bertawakal dan bekerja bersungguh-sungguh agar pada malam 29 November nanti, BN dapat diisytiharkan menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dan Balung.
“Insya-Allah, kami akan terus bekerja keras dalam tempoh kempen yang berbaki kurang daripada satu hari ini, memastikan semua pengundi dapat ditemui dan terus didekati,” jelasnya.
Tambah beliau, gelombang sokongan rakyat yang semakin meningkat diyakini akan diterjemahkan dalam bentuk undi pada hari pengundian nanti.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi bagi PRN Sabah.
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan 73 kerusi DUN, dan BN bertanding di 45 kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon muka baharu. – UMNO Online
