Pilih Wakil Rakyat BN, Selari Kerajaan Pusat Untuk Pembangunan – Ahmad Zahid
BEAUFORT, 26 Nov – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pemilihan wakil rakyat yang selari dengan kerajaan adalah kunci utama bagi memastikan pembangunan di Sabah dapat dilaksanakan dengan lebih cepat dan berkesan.
Berucap dalam Program FELCRA MADANI Santuni Rakyat @ Lumadan di Dataran Bagandang hari ini, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta Presiden UMNO berkata, keselarasan antara kerajaan negeri dan wakil rakyat amat penting agar segala perancangan dapat disampaikan secara terus tanpa halangan birokrasi.

Turut hadir Pengerusi FELCRA Berhad, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub; calon BN N.34 Lumadan, Datuk Mohd Nazri Abdullah; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; serta Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching.
Menurutnya, Datuk Mohd Nazri Abdullah ialah calon yang mampu menjadi jambatan untuk membela nasib rakyat Lumadan kerana kesinambungan kepimpinan sangat diperlukan.
“Berikan undi kepada BN. Apa yang kita tawarkan adalah lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu projek Pan Borneo yang tertangguh akibat kegagalan kerajaan yang menggantikan BN memastikan kestabilan politik dan pentadbiran yang cekap.
Justeru, berliau berjanji akan menyiapkannya sebelum PRN akan datang sekiranya BN diberi mandat.
Ahmad Zahid menambah, pelabur enggan masuk ke Sabah kerana masalah asas melibatkan air, elektrik dan jalan raya, namun perkara itu akan diberi keutamaan untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda Sabah.
“Tak perlu anak-anak muda Sabah keluar ke Semenanjung. Jika tiga masalah ini selesai, pelabur akan masuk dan peluang pekerjaan akan bertambah,” ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa 29 November ini menjadi penentuan penting, sambil menyifatkan barisan calon BN yang 80 peratus muka baharu sebagai semangat baharu untuk khidmat yang lebih baik.
“Lihat prestasi menteri-menteri dan timbalan menteri BN tidak pernah mengecewakan rakyat termasuk di Sabah,” katanya lagi.
