Pendidikan Dipacu Kehadapan, Impian Sabah Kini Jadi Realiti – Dr Zambry

TAWAU, 26 Nov – Landskap pendidikan tinggi di Sabah bakal memasuki fasa baharu yang lebih besar dan strategik selepas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan beberapa projek mega untuk Pantai Timur, termasuk pembinaan kampus tetap di Tawau dan penubuhan Fakulti Undang-Undang di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, KPT telah mengenal pasti tapak kekal bagi pembangunan institusi pendidikan tinggi di Tawau, dengan proses pengambilan tanah dijangka bermula tahun hadapan.

“Kita akan kembangkan lagi Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kabinet telah meluluskan dan mewujudkan satu lagi fakulti yang sangat diperlukan oleh UMS.

“Fakulti undang- undang kerana fakulti ini diperlukan selain daripada undang-undang civil yang ada dan mempunyai undang-undang adat dan sebagainya. Keperluan kepada sebuah fakulti undang-undang juga telah diluluskan oleh kabinet.

“Tapak tetap itu telah dikenal pasti dan kami sendiri telah meninjau kawasan berkenaan beberapa bulan lalu. Insya-Allah, pengambilan tanah akan bermula tahun hadapan diikuti pelan pembangunan dan pembinaan. Semua ini akan digerakkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Eksplorasi TVET Komuniti, Tawau.

Mengulas lanjut, beliau juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) menjelaskan, KPT turut meneliti semula struktur kemudahan kolej komuniti di Sabah, termasuk penambahan asrama yang selama ini tidak menjadi dasar asal institusi tersebut.

“Kita juga merangka dan melihat semula kolej-kolej Komuniti yang berada di Sabah ini. Pada dasarnya Kolej Komuniti tidak mempunyai asrama tapi melihat kolej-kolej yang berada di Sabah.

“Bagi mereka yang datang jauh dari kawasan pendalaman. Dasar Kolej Komuniti hendaklah disertakan sekali dengan pembinaan asrama,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO