Johan Terus Khidmat Bakti, Santuni Mangsa Banjir

KUALA LUMPUR, 26 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz berbesar hati menyantuni mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang, Batu 14, Hulu Langat susulan kejadian banjir yang berlaku.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat berkata, beberapa rumah terjejas akibat banjir berpunca daripada runtuhan tebing sungai berhampiran.

“Alhamdulillah, berkesempatan untuk melawat rumah saudara Afiq di Kampung Rantau Panjang, Batu 14 yang dinaiki air.

“Beberapa rumah berhampiran turut terjejas susulan runtuhan tebing sungai yang menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan ini.

“Saya akan panjangkan perkara ini kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia untuk tindakan susulan yang sewajarnya, insya Allah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Johan yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO seterusnya berkesempatan meninjau calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditempatkan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Jalil, Hulu Langat susulan banjir yang melanda kawasan kediaman mereka.

Pada kunjungan tersebut, beliau meluangkan masa beramah mesra dan memberikan kata-kata semangat kepada para pelajar.

“Walaupun berhadapan dengan suasana yang tidak di duga, saya lihat anak-anak kita tetap tenang, fokus dan bersemangat untuk menduduki peperiksaan SPM pada hari pertama.

“Saya mendoakan agar semuanya dipermudahkan serta diberi ketenangan hati dalam menjawab setiap kertas. Semoga kejayaan mengiringi usaha kalian,” ujar beliau.

Sementara itu, menerusi hantaran terbaharu beliau turut berkesempatan meninjau keadaan Sekolah Rendah Agama Dusun Nanding yang turut dijadikan salah satu pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir di Hulu Langat.

Johan kemudiannya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang tampil membantu, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta yang berganding bahu dalam meringankan beban mangsa banjir.

“Terima kasih diucapkan kepada NGO serta syarikat-syarikat swasta yang hadir memberikan sumbangan CSR. Keprihatinan anda semua benar-benar meringankan beban mangsa.

“Tidak dilupakan, setinggi penghargaan kepada para petugas PPS, anggota polis serta ketua kampung yang bertungkus-lumus menguruskan keadaan di lapangan. Semoga Allah SWT memberkati setiap sumbangan dan jasa yang dicurahkan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan 2,641 mangsa daripada 717 keluarga di 23 PPS susulan banjir di tujuh daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Sabak Bernam, Shah Alam, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO