Jamal Nerubi Yakin Sokongan Pengundi Kawang, Seru Pilih BN Pada 29 Nov
KAWANG, 26 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Datuk Jamal Nerubi, optimis penerimaan positif daripada pengundi sepanjang kempen akan memberikan kelebihan kepada BN menjelang hari pengundian pada 29 November ini.
Menurutnya, hanya tinggal beberapa hari sebelum rakyat keluar mengundi dan tiga hari terakhir ini digunakan sepenuhnya untuk program ziarah serta sesi bersama golongan muda di enam hingga tujuh markas pemuda.
“Sepanjang ziarah kempen, saya melihat satu keajaiban terhadap penerimaan pengundi. Mereka sudah kenal saya kerana saya bekerja sejak 2019. Syukur Alhamdulillah, sambutan mereka setiap kali saya dijemput amat memberangsangkan dan saya yakin kita akan menang,” katanya kepada UMNO Online selepas sesi Ziarah Kasih di Kampung Kawang, semalam.
Jamal berkata, manifesto BN yang diumumkan baru-baru ini turut mendapat sambutan baik, khususnya daripada golongan muda, termasuk inisiatif Dana Niaga Belia, Bantuan Bersalin 2026, insurans pendidikan percuma untuk keluarga B40 dan pelbagai tawaran lain.

“Keperluan ini sangat penting kerana kita perlukan perubahan. Perubahan bukan hanya di Kawang, tetapi di seluruh Sabah. Bagaimana pelabur mahu masuk jika masih berdepan masalah air dan elektrik? Sebab itu perubahan mesti disambut oleh semua pihak, terutama pengundi,” tegasnya.
Jamal juga mengingatkan jentera BN agar memanfaatkan baki tiga hari terakhir untuk mendekati pengundi kelabu dan memastikan mereka keluar mengundi pada 29 November.
Dalam masa sama, beliau mengakui terdapat usaha pihak tertentu untuk membeli jentera parti dengan tawaran sehingga RM5,000, namun menegaskan pendirian agar mereka “ambil duit tetapi tetap bekerja untuk BN”.
“Saya tidak boleh membangunkan Kawang seorang diri. Saya perlukan sokongan semua pihak untuk menyokong dan memangkah BN demi masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 29 November 2025 ini sebagai tarikh PRN17 bagi negeri Sabah, manakala hari mengundi awal pada 25 November 2025.
Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga jam 11.59 malam 28 November 2025 (Jumaat).
PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – UMNO Online
