Benedict Berhasrat Wujudkan Koperasi Pembangunan Rakyat Di Telupid

BELURAN, 26 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telupid, Benedict Asmat berhasrat menubuhkan sebuah koperasi pembangunan rakyat bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya melibatkan golongan wanita, belia dan usahawan kecil.

Menurut beliau, penubuhan koperasi itu mampu menjadi platform inklusif untuk memperkasa aktiviti keusahawanan serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat Telupid secara menyeluruh.

“Saya melihat semakin ramai usahawan tempatan muncul di Telupid, termasuk dalam kalangan wanita dan anak muda. Aktiviti keusahawanan ini menjadi sumber pendapatan utama mereka, dan saya percaya koperasi rakyat ini boleh membantu memperkukuh lagi ekonomi mereka,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Benedict berkata, aspirasi berkenaan boleh direalisasikan sekiranya semua pihak bekerjasama dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pewujudan koperasi ini bukan sesuatu yang mustahil. Dengan semangat kerjasama dan sokongan semua pihak, kita mampu menjadikan Telupid daerah yang makmur dan berdaya saing,” ujarnya.

Beliau seterusnya menyeru agar masyarakat khususnya pengundi di Telupid agar memberikan kepercayaan kepada beliau pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini dalam usaha merealisasikan hasrat berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO