Pengundi Semakin Yakin Kepada BN Kerana Mahukan Penyelesaian Sebenar

PENSIANGAN, 26 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan Laiji Ompongoh berkata sokongan rakyat di kawasannya sangat positif.

Dengan mempunyai hampir 23,000 orang pengundi, Laiji percaya momentum sokongan yang diperolehinya semakin meningkat.

“Sokongan rakyat Nabawan sangat positif walaupun sembilan penjuru, saya nampak pengundi semakin yakin dengan BN kerana mahukan penyelesaian sebenar kepada isu asas,” katanya dalam satu video.

Berkaitan dengan jentera, Laiji berkata sokongan mereka banyak membantu dan memudahkan kerja-kerja kempen.

“Jentera UMNO/BN sangat komitmen dan teratur. Semua bergerak aktif dan bersatu. Ini memberi keyakinan bahawa kita mampu membuat perubahan besar pada hari mengundi,” katanya.

Jelasnya lagi, sebagai calon anak muda terdapat cabaran utama untuk memberi keyakinan kepada pengundi terutama kepada golongan dewasa.

“Cabaran utama ialah meyakinkan sebahagian orang dewasa. Tetapi saya membuktikan setiap hari bahawa anak muda boleh bekerja keras, mendengar suara rakyat dan membuat keputusan berani,” katanya.

Bercakap mengenai fokusnya jika menang, Laiji berkata ia sangat jelas iaitu utamanya mahu menyelesaikan isu tiga serangkai dan

“Fokus jika menang. Fokus saya sangat jelas, selesaikan isu jalan raya, air, elektrik.

“Selain itu saya ingin membuka peluang belia, perkasakan wanita dan tingkatkan ekonomi kampung melalui pertanian dan keusahawanan,” katanya.

Seterusnya, dalam siri kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ini, Laiji telah menemui dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat.

Antara aktiviti yang dilakukan adalah bertemu rakyat dan jentera BN di Pusat Daerah Mengundi (PDM) PDM Saliu dan Ponontomon.

“Dalam sesi ramah mesra, saya juga mendengar sendiri harapan masyarakat yang inginkan perubahan dan kemajuan yang lebih teratur untuk kampung ini. Suara-suara inilah yang menguatkan lagi tekad saya untuk terus berkhidmat,” katanya.

Jelajahnya itu juga lebih bermakna dengan kehadiran Ketua Puteri UMNO Malaysia Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi dan Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Datuk Ruzaini Rais mewakili Negeri Angkat Perlis.

Terdahulu, Laiji mengunjungi PDM Pohon Batu dengan membawa set lengkap peralatan pemeriksaan kesihatan termasuk tekanan darah, gula dan saringan asas untuk masyarakat, terutama anak-anak dan warga emas.

“Jika diberi mandat, saya akan berusaha sehabis baik untuk membantu, membela dan membawa perubahan yang benar-benar dirasai oleh masyarakat. Dengan semangat bersama, saya yakin Nabawan mampu melangkah jauh,” katanya.

SPR menetapkan Sabtu ini sebagai hari pembuangan undi di mana tempoh berkempen yang bermula dari 15 Nov lepas akan berakhir pada 11.59 malam, 28 Nov.

Semalam, berlangsung hari undi awal kepada 24,426 pengundi awal untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

PRN Sabah diadakan bagi mengisi kekosongan sebanyak 73 kerusi DUN Sabah dan BN bertanding di 45 buah kerusi dengan menampilkan 80 peratus calon baharu. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO