Pilih BN: Generasi Muda Kunak Yakin TVET Buka Masa Depan Lebih Stabil
KUNAK, 26 Nov – Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kini menjadi antara pilihan utama generasi muda kerana kelebihannya yang lebih praktikal dan selari dengan keperluan industri.
Tinjauan UMNO Online, rata-rata anak muda di sini menaruh keyakinan terhadap calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Seri Anil Sandhu yang mampu mengubah lanskap Kunak.
Bagi Bibi Shahira Muhammad Isa berkata, pendekatan TVET yang menekankan pembelajaran berasaskan kemahiran memberikan kelebihan besar kepada pelajar untuk bersaing dalam industri.
“Pendekatan pembelajaran berasaskan kemahiran nyata menjadikan pelajar lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar. Saya juga yakin Anil Sandhu mampu menunaikan mandatnya, khususnya dalam aspek pembangunan dan infrastruktur di kawasan ini termasuk pendidikan TVET.
“Bagi generasi kami, TVET bukan sekadar laluan alternatif, tetapi peluang untuk membina masa depan yang lebih stabil. Latihan yang diterima membuka ruang kepada pelbagai bidang pekerjaan yang sentiasa memerlukan tenaga mahir.
“Dengan kemahiran yang diperoleh, graduan TVET mampu menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Mereka bukan sahaja berpeluang mendapat pekerjaan yang baik, malah berpotensi menjadi usahawan dalam bidang teknikal,” katanya.
Sementara itu, Shahril Nizam Daniel Ibrahim berkata pengukuhan TVET di Kunak amat penting kerana ia mampu melahirkan tenaga muda berkemahiran tinggi serta memudahkan mereka memperoleh pekerjaan stabil tanpa perlu berhijrah ke kawasan lain.

“Pendidikan TVET perlu dimajukan di DUN Kunak kerana ia amat penting untuk anak-anak muda di sini. TVET memberikan kemahiran praktikal yang boleh terus digunakan dalam dunia pekerjaan.
“Saya berharap pengundi muda terus memberikan sokongan dan mengundi Anil Sandhu, kerana beliau mampu merealisasikan aspirasi anak-anak muda,” katanya.
Shahril Nizam menambah, penekanan terhadap TVET serta sokongan padu generasi muda diyakini mampu membuka lembaran baharu pembangunan di Kunak, sekali gus meningkatkan taraf hidup serta masa depan anak-anak muda di daerah itu.
Sementara itu, Siti Norzia Muhamad Ar Radzi Al Bashir turut menyuarakan harapan agar calon BN dapat memajukan DUN Kunak dan membuka lebih banyak peluang untuk golongan muda di kawasan berkenaan.

“Saya berharap calon BN ini dapat memajukan DUN Kunak serta mengangkat martabat anak muda di kawasan ini. Dalam tempoh 10 tahun akan datang, TVET mempunyai potensi besar untuk menjamin masa depan generasi muda dan wajar dijadikan pilihan utama dalam pendidikan serta kerjaya.
“Jika keputusan SPM kurang memuaskan, jangan berputus asa. TVET boleh menjadi penyelesaian kepada pelbagai cabaran anak muda, kerana kemahiran yang dipelajari akan mempersiapkan mereka menghadapi dunia pekerjaan dan kehidupan sebenar,” katanya.
Pada penamaan calon Sabtu lalu, Anil Sandhu yang mewakili BN bagi DUN Kunak berdepan saingan enam penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa seramai 596 calon bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini, merebut 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
SPR menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh mengundi bagi rakyat Sabah bagi PRN ke-17. – UMNO Online
