Pilih BN, Tawar Masa Depan Sabah: Puteri UMNO Seru Tolak Politik Kebencian

KOTA KINABALU, 25 Nov — Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, menegaskan keperluan mengembalikan semula kegemilangan Barisan Nasional (BN) dalam usaha memacu pembangunan dan kestabilan politik di Sabah pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.

Menurutnya, BN kini berdepan provokasi dan serangan persepsi yang dimainkan oleh pihak lawan melalui penciptaan naratif kebencian, termasuk penggunaan label seperti parti Semenanjung, parti Malaya dan parti penjajah bagi menghasut rakyat.

“Mereka sengaja mewujudkan politik kebencian yang tidak pernah difikirkan di mana-mana. Sedangkan yang dirindui rakyat ialah pentadbiran di bawah satu bumbung BN yang pernah membawa pembangunan dan kemakmuran,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa BN sejak dahulu mendidik masyarakat dengan semangat kebersamaan, perpaduan dan tanggungjawab terhadap mandat yang diberikan rakyat.

“BN memberi ruang dan peluang kepada ramai pemimpin, tetapi ada yang menjadi kacang lupakan kulit. Tidak ada kesetiaan kepada pengundi dan tidak melihat mandat itu sebagai satu amanah,” ujarnya.

Nurul Amal berkata rakyat Sabah kini semakin matang dalam membuat penilaian politik, menuju politik masa depan yang lebih idealistik dan sesuai dengan aspirasi generasi baharu.

“Kuasa, jika diberikan kepada individu yang salah, boleh membawa kepada salah guna kuasa. Tetapi jika diberikan kepada mereka yang amanah, ia melahirkan rasa tanggungjawab. Jika mahukan perubahan serta idea baharu, pilihlah BN kerana BN menawarkan calon muda dan baharu, bukan tokoh lama yang dikitar semula,” jelasnya.

Beliau turut menonjolkan keterangkuman dalam BN apabila satu-satunya calon Puteri UMNO di Sabah pada pilihan raya ini merupakan calon bukan Islam, menggambarkan semangat hormat-menghormati dan penyatuan dalam parti.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pengundi muda agar tidak menjual maruah dengan mengundi berasaskan sogokan wang.

“Undi adalah timbangan untuk pembaharuan dan pembangunan Sabah. Apa pun yang berlaku, jangan jual maruah kita kerana wang. Anak muda mesti memastikan masa depan Sabah terus terjamin,” tegasnya.

Nurul Amal turut menyeru seluruh pengundi terutamanya anak muda untuk bersama mengangkat semula kekuatan BN di negeri itu.

“Kita ‘Bikin Balik Sabah’ sama-sama. Kami perlukan semua untuk kembalikan kegemilangan BN,” katanya menerusi Podcast Hitam Putih Kelabu di UMNO Online, sempena Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah ke-17 bertajuk Suara Belianita Sabah: Harapan Baharu bersama Puteri UMNO, semalam. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO