‘Program Jaminan Kerjaya Berjaya Ubah Kehidupan Anak-Anak Pahang’ – Wan Rosdy

KUALA LUMPUR, 25 Nov – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berasa bangga apabila melihat Program Jaminan Kerjaya benar-benar mampu mengubah kehidupan anak-anak Pahang.

Wan Rosdy yang juga Naib Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya berkata, beliau telah berpeluang ke Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Visionary De’ Tea Logue, di Putrajaya pada Isnin.

“Saya telah berpeluang bertemu para alumni, rakan industri dan para penaja dalam Majlis Hi-Tea Program Jaminan Kerjaya Visionary De’ Tea Logue, di Putrajaya.

“Terima kasih kepada Yayasan Pahang, YP Advanced Skills dan semua rakan strategik yang sentiasa bersama dalam melahirkan generasi muda berkemahiran.

“Apa yang lebih membanggakan… apabila melihat bagaimana Program Jaminan Kerjaya benar-benar mengubah kehidupan anak-anak Pahang,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong usaha melahirkan tenaga mahir yang mampu mengisi peluang kerja masa hadapan.

“Ada yang bermula dengan penuh kesusahan, tetapi kini mampu menjana pendapatan mencapai lebih RM30,000 sebulan. Inilah makna sebenar peluang apabila diberi pada masa dan tempat yang betul.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus menyokong usaha melahirkan tenaga mahir yang mampu mengisi peluang kerja masa depan.

“Semoga segala usaha ini menjadi manfaat untuk keluarga, masyarakat dan negeri kita,” katanya lagi.

Untuk rekod, Program Jaminan Kerjaya telah berlangsung sejak 2018 di bawah Kerajaan Negeri Pahang untuk melahirkan alumni bekerjaya dan membantu mengurangkan masalah pengangguran di negeri itu.

Berkonsepkan ‘Train and Place’, program tersebut digerakkan Yayasan Pahang selaku penaja utama manakala YP Advanced Skills sebagai badan pelaksana dan disokong tajaan daripada Yayasan Peneraju, Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang serta SD Guthrie Berhad.

Program tersebut mendapat tajaan sebanyak RM62.16 juta yang menyasarkan golongan belia, asnaf dan pekerja industri berkelayakan di negeri berkenaan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO