UMNO Kimanis Nafi Dakwaan 50 Ahli Kg Ulu Brunei Keluar Parti Sertai GRS

KIMANIS, 25 Nov – UMNO Bahagian Kimanis menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tular di Facebook yang mendakwa seramai 50 ahli UMNO dari Kampung Ulu Brunei, Membakut keluar parti dan menyertai GRS.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kimanis, Abd Rahim Hj Jailani, berkata tuduhan tersebut tidak berasas sama sekali dan tidak mempunyai sebarang pengesahan rasmi.

Menurut beliau, sehingga kini tiada laporan daripada cawangan mahupun bahagian mengenai perpindahan ahli secara beramai-ramai seperti yang dituduh.

“Dakwaan itu tidak benar. Ahli UMNO di Kg Ulu Brunei kekal bersama parti dan tidak membuat sebarang pengisytiharan seperti yang digembar-gemburkan,” tegasnya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak menghentikan penyebaran maklumat palsu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Membakut.

“Perbuatan seperti ini tidak wajar kerana ia boleh memberi gambaran tidak tepat, seolah-olah mengambil kesempatan terhadap tetamu majlis serta keluarga yang diraikan. UMNO menegaskan bahawa tiada sebarang pengisytiharan keluar parti dibuat oleh mana-mana pihak,” katanya.

Abd Rahim menyeru semua pihak agar mengamalkan adab berpolitik yang matang serta menghormati keharmonian masyarakat setempat, khususnya di daerah Membakut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO