Undi Bukan Cuba-cuba… Yakub Khan Seru Kekal Pilih BN Di Karambunai

SEPANGGAR, 25 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Karambunai, Datuk Yakub Khan menyeru rakyat agar memberikan peluang dan sokongan kepada BN demi mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negeri.

Menurut beliau, pengalaman sejak 2018 sudah cukup membuktikan bahawa percubaan menukar kerajaan hanya membawa kepada ketidakstabilan dan merencatkan pembangunan.

“Dalam tempoh lima tahun kita tukar kerajaan tiga kali. Pelabur takut masuk, ekonomi tidak stabil, rakyat hilang pekerjaan. Ini realiti yang perlu kita lihat dengan jujur,” katanya ketika berucap di Kampung Lepasan, di sini malam tadi.

Beliau yang merupakan penyandang kepada kerusi DUN Karambunai menegaskan bahawa masa depan Sabah memerlukan kepimpinan yang konsisten dan bukannya percaturan politik yang sering berubah.

“Jangan jadikan pilihan raya sebagai tempat untuk mencuba-cuba. Kita telah belajar daripada kesilapan lalu. Sabah perlukan kerajaan yang kukuh dan berpengalaman,” tegasnya.

Yakub turut mengingatkan bahawa ada pihak yang kini lantang bersuara meskipun ketika mereka memegang jawatan besar di peringkat Persekutuan dahulu, mereka tidak berbuat apa-apa.

“Waktu ada jawatan, diam. Bila sudah tiada jawatan, baru mahu melaungkan macam-macam. Teriak dalam negeri saja, jadilah jaguh kampung,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak pengundi menilai dengan bijaksana dan memilih BN sebagai parti yang telah terbukti membawa pembangunan dan kestabilan di Sabah.

“Saya merayu kepada seluruh rakyat Karambunai, berilah peluang dan sokongan kepada BN demi masa depan yang lebih baik untuk negeri kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pengundi di sini yang turut disertai Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Yakub Khan yang merupakan pemegang calon nombor satu adalah penyandang bagi mempertahankan kerusi Karambunai dengan berdepan pertandingan 11 penjuru.

Yakub berdepan Ahmad Jais Otong, 51, daripada Parti Warisan, yang ditewaskannya pada pilihan raya negeri lalu selain senarai calon termasuk Datuk Arshad Idris, 75, dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Dr Aliakhbar Gulasan, 53, dari Parti Se-Islam Malaysia (PAS), serta Datuk Stephen Teo, 63, dari Star.

Beberapa muka baharu juga tampil, termasuk Hates Abdul, 46, dari Sabah Peace Party (SPP); Matkri Kassim, 60, dari Parti Kebangsaan Sabah (PKS); Mohd Yonus Ibrahim, 59, dari Parti Bumi Kenyalang; dan Azman Fathil, 32, dari Gemilang Anak Sabah, selain Raynold Saikam Salinggou, 57, dari Perpaduan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO