Manifesto BN Sentuh Semua Peringkat, Termasuk Anak Muda Pedalaman – Aslan Fadli
KALABAKAN, 25 Nov – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik, Aslan Fadli Samsul Alang, menegaskan bahawa manifesto BN merupakan yang paling komprehensif untuk rakyat Sabah, khususnya golongan muda dan komuniti luar bandar.
Beliau berkata, manifesto itu bukan sekadar dokumen pilihan raya, tetapi satu komitmen jelas BN untuk mempercepatkan pembangunan yang tertangguh serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Manifesto BN melibatkan semua peringkat masyarakat, terutama anak-anak muda di pedalaman yang memerlukan akses kepada pendidikan, kemudahan asas dan peluang ekonomi.
“Sememangnya dari dahulu lagi, apabila BN memerintah, manifesto tetap ditunaikan dan tidak pernah ditangguhkan. Sebab itulah mandat yang diberi rakyat adalah satu amanah besar yang mesti dilaksanakan.
“Dalam manifesto BN, salah satunya adalah penubuhan TVET antarabangsa mahupun swasta, pembinaan rumah mampu milik untuk belia dengan sifar deposit, dan mendirikan 1,000 unit setiap tahun khusus untuk anak muda,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut Aslan juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kalabakan menambah, BN tidak pernah mengabaikan janji-janji yang telah direkodkan dalam manifesto, malah komitmen tersebut kekal menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan.
“Rakyat Sabah sememangnya rindu pada pentadbiran BN, khususnya di DUN Sebatik. Parti ini tidak pernah melupakan janji-janji yang tercatat dalam manifesto.
“Kepercayaan rakyat akan menjadi penggerak utama untuk mengembalikan semula momentum pembangunan di Sebatik sekiranya BN diberi mandat dalam pilihan raya ini,” jelasnya.
Pada masa yang sama, Aslan menegaskan bahawa sekiranya diberi mandat di DUN Sebatik, perhatian segera akan diberikan terhadap pembangunan infrastruktur yang merupakan keperluan asas dan memberi impak langsung kepada kehidupan penduduk.
“Saya akan menumpukan kepada tiga teras utama infrastruktur di Sebatik, iaitu jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih. Tiga perkara ini sangat kritikal dan perlu dilaksanakan dengan segera sekiranya rakyat memberi kemenangan kepada BN.
“Kita tidak boleh membiarkan rakyat Sebatik terus menghadapi kesusahan akibat infrastruktur asas yang tidak sempurna. Jalan raya yang baik membuka lebih banyak peluang ekonomi, bekalan elektrik yang stabil meningkatkan taraf hidup, manakala air bersih adalah hak asas yang mesti dipenuhi tanpa kompromi,” ujarnya. – UMNO Online
