Amaran Banjir: Reezal Merican Seru Warga Bertam, Kepala Batas Berwaspada
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyeru rakyat di kawasan Bertam dan Kepala Batas untuk sentiasa berwaspada terhadap amaran banjir yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS).
Ini kerana katanya, paras air sungai dijangka akan meningkat dengan cepat dan boleh melepasi aras bahaya, sekali gus membawa risiko banjir besar di beberapa kawasan di negeri Pulau Pinang.

“JPS Malaysia telah mengeluarkan Notis Amaran Banjir susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 23 November 2025, jam 4.15 petang.
“Paras air sungai dijangka meningkat dengan cepat dan boleh melepasi aras bahaya, sekali gus membawa risiko banjir besar di beberapa kawasan di negeri Pulau Pinang.
“Bermula tengah malam 24 November sehingga tengah hari 26 November, cuaca diramal sangat tidak menentu dengan hujan lebat yang berpanjangan berserta angin kuat, terutama di kawasan Bertam dan Kepala Batas,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Mengulas lanjut, beliau turut menyeru warga Bertam dan Kepala Batas untuk menghubungi Pusat Khidmat ADUN Bertam sekiranya berlaku sebarang kecemasan ataupun memerlukan bantuan segera.

“Kita semua telah melihat sendiri bagaimana banjir buruk dan kejadian pokok tumbang berlaku sejak beberapa hari lalu, memberi tanda bahawa keadaan kali ini mungkin lebih serius daripada kebiasaan.
“Saya merayu kepada semua penduduk agar sentiasa berwaspada. Simpan barang penting di tempat selamat, elakkan berada di kawasan rendah atau berhampiran sungai, dan peka dengan arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.
“Keselamatan keluarga dan harta benda perlu diberi keutamaan ketika keadaan cuaca semakin membimbangkan.
“Sekiranya berlaku kecemasan atau memerlukan bantuan segera, penduduk boleh terus menghubungi Pusat Khidmat ADUN Bertam di talian 013-4750147. Kita hadapi situasi ini bersama dengan penuh kesiapsiagaan dan ketenangan,” katanya lagi. – UMNO Online
