Momentum Kempen Kian Meriah, Zaidy Turun Bantu Bung Di Lamag
KINABATANGAN, 24 Nov — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir turun padang malam tadi bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) DUN Lamag, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Kehadiran beliau bersama beberapa rakan pimpinan BN lain adalah sebagai tanda sokongan kepada gerak kerja jentera tempatan dalam memastikan kemenangan BN di kawasan berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 29 Nov ini.
Mohd Zaidy bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan, Mohd Naim Kurniawan Moktar, turut menyantuni komuniti belia di Kampung Pangkalan dalam kawasan PDM Bukit Garam.
Pelbagai program interaksi dan libat sama turut diadakan, memberi ruang kepada anak muda untuk berkongsi pandangan, mencetus idea baharu serta terlibat secara langsung dalam usaha memperkukuh gerakan BN di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, penglibatan anak muda dalam program sebegini penting untuk memastikan golongan tersebut kekal dekat dengan agenda pembangunan, perpaduan dan kemajuan masyarakat setempat.
“Komitmen seperti ini perlu diteruskan demi masa depan generasi muda yang lebih cemerlang,” katanya.
BN menurunkan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin sebagai Calon No.1 bagi kerusi N.58 Lamag pada PRN Sabah kali ini. – UMNO Online
