Mohamad Alamin Bantu Pasangan Suami Isteri Terlibat Kemalangan Di Kimanis
KIMANIS, 23 Nov — Keprihatinan dan tindakan pantas Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin membantu menyelamatkan dua mangsa kemalangan mendapat perhatian warga setempat apabila beliau kebetulan melalui lokasi kejadian di Jalan Simpang Masuk Kg Rancangan Kimanis, hari ini.
Dalam kejadian tersebut, sepasang suami isteri yang menunggang motosikal dikatakan terjatuh selepas berlaku insiden di laluan berkenaan.

Menyedari situasi cemas itu, Mohamad yang juga cal9n BN di N.30 Bongawan segera menghentikan kenderaan dan menghubungi pihak ambulans bagi mendapatkan bantuan kecemasan.
Sementara menunggu ketibaan pasukan perubatan, isteri beliau, Datin Dr Rohamini Sibin yang merupakan seorang doktor pakar yang bertugas di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu turut turun membantu memberikan rawatan awal kepada kedua-dua mangsa.
Datuk Mohamad dalam reaksinya menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan berdoa agar kedua-duanya segera pulih. Beliau turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, terutama pada waktu hujan dan di kawasan gelap yang berpotensi menyebabkan kemalangan.
“Semoga urusan rawatan mereka dipermudahkan dan diharapkan mereka segera sembuh,” katanya. – UMNO Online
